Selasa, 18 Februari 2020 | 8:01pm
Norza pada sidang media selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-18 di Wisma MOM, Kuala Lumpur. - NSTP/Owee Ah Chun
Norza pada sidang media selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-18 di Wisma MOM, Kuala Lumpur. - NSTP/Owee Ah Chun

MOM jangka 30 atlet beraksi di Tokyo

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan kualiti lebih penting berbanding kuantiti berhubung jumlah penyertaan atlet yang akan mewakili kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai depan.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata pihaknya menjangkakan seramai 23 hingga 36 atlet akan beraksi pada temasya terbesar dunia itu.

"Ini adalah senario terbaik dan terburuk. Ini juga bergantung kepada pusingan kelayakan atau wild card.

"Sudah pasti kita kecewa apabila skuad hoki (lelaki) tidak layak, namun kita perlu akui purata penyertaan atlet kita pada Olimpik nanti sekitar 30 orang berdasarkan sejarah penyertaan kita sebelum ini.

"Namun, seperti yang saya sering tekankan, kualiti juga penting berbanding kuantiti. Kita perlu fokus dengan melakukan analisis antara apa yang kita mahu capai dengan keadaan kita hari ini.

"Kita perlu fokus terhadap setiap atlet dan lihat bagaimana kita boleh bantu bagi merealisasikan harapan rakyat Malaysia (memenangi pingat emas pertama Olimpik)," kata Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, hari ini.

Setakat ini, 10 atlet sudah pun melayakkan diri beraksi pada temasya di Tokyo membabitkan empat atlet masing-masing dalam acara terjun dan pelayaran manakala memanah serta gimnastik diwakili seorang atlet.

Jumlah itu dijangka meningkat menerusi penyertaan beberapa lagi atlet menerusi sukan badminton, basikal trek dan beberapa lagi acara sukan yang masih bersaing dalam pusingan kelayakan.

Pada temasya Olimpik Rio 2016, seramai 32 atlet membawa cabaran kontinjen Malaysia dengan pencapaian meraih empat pingat perak dan satu gangsa.

Atlet layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020

Terjun

Pandelela Rinong

Ng Yan Yee

Leong Mun Yee

Nur Dhabitah Sabri

Pelayaran

Khairulnizam Mohd Affendy

Nur Shazrin Mohd Latif

Nuraisyah Jamil

Juni Karimah Noor Jamali

Gimnastik

Farah Ann Abdul Hadi

Memanah

Khairul Anuar Mohamad

Berita Harian X