Sabtu, 15 Februari 2020 | 10:26pm
SEORANG pekerja binaan dari India padamkan rekod dunia 100 meter (m) milik Usain Bolt - dengan dibantu dua kerbau.
SEORANG pekerja binaan dari India padamkan rekod dunia 100 meter (m) milik Usain Bolt - dengan dibantu dua kerbau.

Pekerja binaan leburkan rekod dunia Bolt

NEW DELHI: Seorang pekerja binaan dari India dilaporkan berjaya memadamkan rekod dunia 100 meter (m) milik Usain Bolt - dengan dibantu dua kerbau.

Susulan daripada berita yang tular itu menyaksikan Srinivasa Gowda dari Karnataka, India dipanggil untuk sesi percubaan bersama skuad olahraga negara itu selepas dia mencatat kepantasan 9.55 saat (s).

Bolt yang juga pemenang lapan pingat emas Sukan Olimpik pernah menggemparkan dunia pada 2009 apabila berjaya menamatkan larian 100m dengan masa 9.58s.

Tetapi orang ramai di India mula percaya bahawa Gowda sudah memecahkan rekod milik legenda Jamaica itu.

Gowda yang berusia 28 tahun mengambil bahagian dalam acara larian bersama dua kerbau bagi jarak 142m di atas kawasan tanah padi di Kambala.

Dia menewaskan pencabarnya dengan menamatkan larian sejauh 145m hanya dalam tempoh 13.62s.

Dan apa yang mengejutkan, bacaan menunjukkan dia tiba pada 100m pertama dengan masa 9.55s - yang mana 0.03s lebih pantas daripada rekod dunia Bolt.

Gara-gara pencapaian luar biasanya itu, Gowda kini dipanggil untuk sesi percubaan oleh Kementerian Sukan India.

Menteri Sukan India, Kiren Rijiu berkongsi gambar Gowda ketika beraksi dalam larian berkenaan sambil memberitahu sedia memberikan jurulatih terbaik di India untuk melatihnya.

Tulisnya: "Ya @PMuralidharRao ji. Pegawai daripada Olahraga India sudah menghubunginya. Tiketnya sudah dibeli dan dia akan tiba ke sesi latihan Isnin ini.

"Saya akan pastikan jurulatih terbaik kebangsaan mengendalikan ujian itu sebaik mungkin.

"Kami akan melakukan yang terbaik untuk mengenal pasti bakat terbaik."

Malah, seorang pengguna media sosial meramalkan pekerja binaan itu berada pada landasan yang tepat untuk memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik 2020. - AGENSI

Berita Harian X