Sabtu, 4 Januari 2020 | 9:27pm
BEKAS Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong. - Foto Saifullizan Tamadi

MSN tak ada kepakaran akademik - Zolkples

KUALA LUMPUR: “Cukuplah Majlis Sukan Negara (MSN) jaga sukan sahaja.”

Itu kenyataan bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong ketika mengulas isu dakwaan MSN yang dikatakan berminat mengambil alih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

"Saya tak faham kenapa MSN mahu ambil alih kerana sebelum ini pun bukannya SSBJ ada timbulkan masalah semasa di bawah Kementerian Pendidikan.

"MSN juga tidak ada kepakaran dalam bidang akademik dan pada masa saya sebagai Ketua Pengarah dulu pun, berapa ramai juara remaja dunia dihasilkan semua daripada sistem SSBJ sekarang," katanya kepada BH Sukan, hari ini.

SSBJ adalah sekolah sukan pertama diwujudkan di negara ini pada 1996 selari dengan penggubalan Dasar Sukan Negara pada 1988.

Atlet yang terdiri daripada murid berbakat cemerlang dalam sukan dikumpulkan di bawah jurulatih berdedikasi serta guru akademik terpilih bagi mengimbangkan prestasi akademik dan sukan.

"Untuk menjaga sekolah sukan bulanlah bidang kepakaran MSN. Melainkan ada masalah yang timbul membabitkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan," kata Zolkples.

Sumber menyatakan MSN sudah membuat permohonan supaya SSBJ yang sebelum ini di bawah Kementerian Pendidikan diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan perkara itu sudah dibawa ke peringkat tinggi.

 

 

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X