Sabtu, 4 Januari 2020 | 1:00pm
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (kanan) dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail

Megat tuntut Shapawi berundur

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menganggap Datuk Ahmad Shapawi Ismail patut melepaskan jawatan sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN).

Megat D Shahriman menjelaskan tanggungjawab itu perlu diambil Shapawi susulan kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 70 pingat emas di Sukan SEA Filipina, November lalu.

Beliau berkata, arena sukan negara juga memerlukan perubahan baharu sebelum menghadapi cabaran lebih hebat di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo.

"Bila anda gagal, anda perlu berundur. Datuk Seri Zolkples Embong pun lakukan perkara yang sama sebelum ini. Jadi, saya fikir letak jawatan ini tiada apa yang perlu malu, malah orang lebih menghormati.

"Ia juga menunjukkan anda bertanggungjawab dan ada integriti. Pendapat peribadi saya, dia (Shapawi) patut letak jawatan kerana kita tak boleh salahkan persatuan sukan apabila gagal.

"Kita nak suntikan baharu, nak orang yang boleh bawa perubahan. Rangka kerja MSN dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) pun sudah ada, kita hanya perlu ikut. Takkan kita nak gagal kali kedua, daripada gagal kali kedua baik letak jawatan.

"Kenapa dia tak berani sasar emas (di Olimpik), sebab kita tak bersedia, dia tahu prestasi kita teruk dan belum sampai tahap untuk capai emas.

"Saya tiada isu peribadi dengan Shapawi kerana apa yang saya katakan ini hanya kerana saya sayangkan sukan negara," katanya kepada BH Sukan.

Zolkples yang juga bekas Ketua Pengarah MSN menerusi laporan BH Sukan sebelum ini menyifatkan Shapawi perlu melepaskan jawatan sekiranya kontinjen negara gagal di Sukan Olimpik.

Selain itu, Megat D Shahriman juga menegaskan bahawa budaya politik dalam sukan perlu dihapuskan sekiranya mahu melihat arena sukan negara lebih maju.

"Kenapa badan korporat tak nak masuk dalam dunia sukan, sebab banyak politik, MSN badan berkecuali sepatutnya perlu ikut merit.

"Walaupun saya baru setahun jagung (dalam sukan), tapi saya habiskan duit saya sendiri lebih RM1 juta untuk sukan sebab saya percaya benda ini perlu perubahan," katanya.

Sementara itu, Shapawi gagal dihubungi untuk mengulas desakan itu.

Berita Harian X