Khamis, 26 Disember 2019 | 9:29pm
Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi. - NSTP/Osman Adnan

MGF pening Farah Ann tak mahu ke AS

 

KUALA LUMPUR: Berbaki tujuh bulan sebelum Sukan Olimpik 2020 Tokyo, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) masih pening memikirkan persiapan buat gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi untuk menghadapi temasya itu.

Presidennya, Rachel Lau berkata sebelum ini badan induk itu ada membuat perancangan menghantar Farah ke Amerika Syarikat (AS) sebagai persediaan ke temasya dari 24 Julai hingga 9 Ogos 2020 itu namun Farah yang berhasrat menjalani persiapan di tanahair menyebabkan badan induk itu buntu.

"Bagi perancangan ke Amerika Syarikat, kami sebelum ini sudah bersetuju membenarkan tiga gimnas remaja pergi bersama-sama Farah dan sudah mengatur pencari bakat datang ke sini bagi melihat sendiri jika ada gimnas muda boleh melayakkan diri dan diberi biasiswa di universiti Amerika Syarikat.

"Sekarang dia pula tidak mahu pergi, jadi semua 'adik-adik' yang lain juga tidak dapat pergi," katanya kepada BH Sukan, di sini, hari ini.   

Selepas menghadiahkan tiga emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina awal bulan ini, Farah yang berumur 25 tahun meluahkan hasrat membawa rakan sepasukannya bersama-sama menjalani latihan di luar negara bagi persiapan ke Olimpik.

Namun selepas menerima Anugerah Olimpian Terbaik pada Majlis Makan Malam Tahunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) minggu lalu, Farah menerusi media mengubah fikiran untuk kekal menjalani latihan di tanahair bersama jurulatih dan rakan sepasukannya.

"Bagi saya ia adalah satu kebanggaan apabila atlet diberi peluang mewakili negara. Selaku gimnas pertama melayakkan diri ke Olimpik selepas 16 tahun tiada wakil negara, peranan Farah lebih kepada memberi inspirasi kepada lebih ramai kanak-kanak di negara ini untuk menceburi sukan gimnastik.

"Saya pula tidak mahu terlalu mendesak jika gimnas tidak mahu (ikut perancangan ke luar negara). Saya tidak boleh paksa," katanya.

Rachel yang juga seorang gimnas sebelum ini berkata, beliau memberi tumpuan kepada usaha merancakkan lagi program pembangunan akar umbi gimnastik dan buat masa ini dalam perancangan menghantar atlet gimrama menjalani latihan di Russia.

"Selain program akar umbi, saya juga berusaha untuk atlet gimrama yang cemerlang dalam pelajaran seperti Amy Kwan dan Tammy Ng melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka seperti Harvard atau Oxford menerusi biasiswa sukan. 

“Saya berharap mereka akan berkhidmat semula kepada negara suatu hari nanti," katanya.

Berita Harian X