Isnin, 23 Disember 2019 | 10:41pm
JUNI Karimah (kanan) dan Nuraisyah Jamil layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sempena Kejohanan Perahu Layar KFC-MILO-MSA Terbuka Kebangsaan Kali Ke-36 2019, di Batu 1, Port Dickson. - Foto Mohd Amin Jalil
JUNI Karimah (kanan) dan Nuraisyah Jamil layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sempena Kejohanan Perahu Layar KFC-MILO-MSA Terbuka Kebangsaan Kali Ke-36 2019, di Batu 1, Port Dickson. - Foto Mohd Amin Jalil

Nuraisyah, Juni tekad cemerlang di Tokyo

PORT DICKSON: Dua atlet pelayaran negara, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali mengakui teruja selepas layak secara merit ke temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo tahun depan menerusi satu kejohanan di Shenzen, China, minggu lalu.

Nuraisyah, 23, dan Juni Karimah, 17, menempah tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu selepas mereka menduduki tempat kelima keseluruhan dalam perlumbaan kategori International 470 pada Kejohanan Perahu Layar 470 Antarabangsa Asia 2019.

Berkongsi kejayaannya itu, Juni berkata dia sebelum itu berdepan detik sukar sepanjang saingan selepas mendapat perkhabaran datuknya yang berusia 72 tahun meninggal dunia di Pokok Sena, Kedah, sehari sebelum kejohanan berlangsung.

"Saya mendapat berita datuk meninggal dunia pada hari pertama saya menjalani latihan di Shenzen iaitu sehari sebelum kejohanan. Memang berita itu suatu yang menyedihkan kerana arwah banyak memberikan dorongan dan semangat kepada saya sejak mula terbabit dalam sukan ini dua tahun lalu.

"Bagaimanapun gandingan saya (Nuraisyah) dan rakan lain serta pegawai dan jurulatih (Mohd Shahir Abd Rahim) sentiasa memberikan kata-kata semangat untuk terus tabah dan fokus kepada perlumbaan," katanya.

Beliau ditemui pada majlis pengumuman kejayaan mereka oleh Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim sempena Kejohanan Perahu Layar KFC-MILO-MSA Terbuka Kebangsaan Kali Ke-36, di Batu 1, di sini, semalam.

Bagi Nuraisyah pula, dia amat gembira kerana akhirnya berjaya layak ke temasya sukan berkenaan selepas impiannya untuk menyertai Sukan Olimpik 2016, di Rio de Janeiro, Brazil tidak kesampaian.

"Pada pemilihan sesi kelayakan ke Olimpik empat tahun lalu, saya yang ketika itu bergandingan dengan Norashikin Mohd Sayed dalam kategori sama, hanya kurang satu mata untuk layak. Bagaimanapun melalui kerja keras dan percubaan kali kedua tahun ini, ia berhasil.

“Saya amat gembira kerana impian ke Olimpik akhirnya tercapai bersama gandingan baharu (Juni)," katanya.

Mereka berdua berazam untuk melakukan persembahan terbaik di Tokyo nanti bagi meraih pencapaian yang diingini biarpun sedar cabaran bakal dihadapi kelak bukannya mudah, apa lagi dengan pengalaman pertama bertanding di peringkat temasya tertinggi itu.

"Apa pun kami akan berlatih bersungguh-sungguh bagi meningkatkan lagi prestasi dan berharap dapat melakukan persembahan terbaik serrta meraih kedudukan baik di Tokyo nanti," kata Nuraisyah yang berasal dari Johor.

Dengan kejayaan Juni dan Nuraisyah itu, kini empat wakil menggalas cabaran dalam acara perahu layar di Sukan Olimpik Tokyo selepas Khairulnizam Mohd Affendy dan Nurshazrin Mohd Latiff yang sudah layak tiket lebih awal menerusi kategori laser standard dan laser radial.

Berita Harian X