Ahad, 22 Disember 2019 | 8:58pm
Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (kanan) mengucapkan tahniah kepada pelayar Juni Karimah (tengah) dan Nuraisyah Jamil selepas layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (kanan) mengucapkan tahniah kepada pelayar Juni Karimah (tengah) dan Nuraisyah Jamil selepas layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. - NSTP/Mohd Amin Jalil

Dua lagi atlet pelayaran negara layak Olimpik 2020

PORT DICKSON: Atlet pelayaran kebangsaan, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali mencipta ceria untuk negara apabila mengesahkan tempat ke temasya Sukan Olimpik Tokyo pada tahun depan menerusi kategori International 470 wanita.

Kedua-dua atlet berusia 23 dan 17 tahun itu layak secara merit menerusi kelayakan Asia selepas mengenepikan pesaing terdekat dari Thailand dan Singapura pada Kejohanan Perahu Layar Antarabangsa 470 Asia 2019 di Shenzen, China, semalam.

Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim mengumumkan perkembangan itu sebentar tadi.

Katanya, kedua-dua atlet berkenaan mengikut jejak Khairulnizam Mohd Affendy dan Nurshazrin Mohd Latiff yang sudah lebih awal melayakkan diri bagi kategori laser standard dan laser radial.

Menurutnya, kejohanan di Shenzen itu adalah sebahagian daripada pentas kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

"MSA amat berbangga dengan prestasi dan kejayaan kedua-dua atlet berkenaan kerana saingan ke peringkat Sukan Olimpik begitu sengit.

"Ini satu kejayaan yang bermakna kepada seluruh warga pelayaran bagi tahun ini kerana buat pertama kali kita layak dalam kelas International 470 dan pertama kali juga kita layak dalam tiga kelas ke temasya Olimpik.

"Segala persiapan yang dibuat sebelum ini akhirnya membuahkan hasil dengan berkat kesabaran dan iltizam yang tinggi ditunjukkan pasukan," katanya selepas menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah Kejohanan Perahu Layar KFC-MILO-MSA Terbuka Kebangsaan Kali Ke-36 2019, di Batu 1, di sini, petang tadi.

Sebanyak 257 atlet mewakili 23 pasukan negeri dan kelab perayu layar tempatan serta dari Indonesia, Korea dan Singapura mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan yang bermula 18 Disember lalu.

Kamaruzzaman berkata, MSA masih lagi mencuba untuk menambah satu lagi wakil ke Tokyo menerusi kategori Windsurfing RSX lelaki pada siri kelayakan terakhir dijadualkan pada bulan Mac 2020, di Abu Dhabi.

"Saya yakin dengan prestasi dan keupayaan Hadri untuk bersaing merebut tempat jika mengambil persembahan dipamerkan dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini," katanya.

Mengulas lanjut persiapan ke temasya terbesar berkenaan, beliau berkata perancangan sedang dibuat bersama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memastikan setiap pelayar kita mampu mempamerkan persembahan mantap di Tokyo nanti.

"Fokus kita bermula awal Januari 2020 nanti adalah kepada usaha mempersiapkan pelayar dan berharap mampu meletakkan mereka khususnya Khairulnizam yang lebih berpengalaman beraksi di pentas tertinggi itu dalam kelompok senarai 20 pelayar terbaik temasya," katanya.

Berita Harian X