Rabu, 11 Disember 2019 | 3:52pm

Shapawi pikul tanggungjawab, serah nasib kepada Syed Saddiq

CLARK: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengakui bertanggungjawab di atas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 70 pingat emas pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

Bagaimanapun, katanya buat masa ini dia akan meneruskan tugas seperti biasa sehingga kedudukannya ditentukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Saya maklum berhubung desakan ini. Jadi saya sebagai Ketua Pengarah MSN mengambil tanggungjawab ini. Kami akan meneruskan kerja selagi diperlukan dan akan terus berkhidmat untuk negara.

"Walaupun kita mempunyai beberapa kejayaan yang lain diperingkat dunia, Sukan olimpik, Sukan Asia dan kejohanan antarabangsa. Tetapi untuk kali ini kami di MSN dan persatuan sukan mengambil tanggungjawab sepenuhnya.

"Kita akan kaji dan mencari satu pendekatan yang lain dan kita akan kemukakan kepada pihak kementerian, Majlis Olimpik Malaysia dan lembaga pengurus MSN untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media rangkuman prestasi kontinjen Malaysia, di sini, sebentar tadi.

Kontinjen Malaysia yang menutup kempen di Sukan SEA 2019 semalam, mencatat 'sejarah' baharu apabila gagal memenuhi sasaran pingat selepas sekadar meraih 56 daripada 70 emas disasarkan.

Kegagalan kali ini adalah yang keempat terburuk dalam sejarah 20 tahun terakhir penyertaan Malaysia pada temasya dwitahunan itu.

Mengulas lanjut, Shapawi bagaimanapun mempertahankan kaedah dan perancangan program yang dijalankan MSN untuk atlet selama ini.

"Secara am, program latihan kita adalah program yang tertumpu dalam membangunkan bakat muda. Ia tidak hanya tertumpu pada satu-satu sasaran tapi ia bersifat menyeluruh.

"Program Sukan SEA 2019 adalah program peralihan antara program 2017 dan juga ke arah Sukan SEA 2021," katanya.

Shapawi (kanan) pada sidang media laporan prestasi kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2019 Filipina di Pusat Konvensyen ASEAN, Clark City. - NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X