Rabu, 11 Disember 2019 | 10:50am
Gambar fail, Kontinjen Malaysia diketuai pembawa bendera, atlit bowling Rafiq Ismail bersama Ketua Kontinjen Datuk Megat Zulkarnain Omar Din serta 90 atlet Malaysia memasuki ruang utama pada majlis perasmian Sukan SEA Filipina 2019 di Filipina pada 30 November lalu. - Foto Osman Adnan

MSN kena bertanggungjawab

 

MANILA: Kontinjen Malaysia secara rasminya gagal dalam pemburuan 70 pingat emas ditetapkan pada Sukan SEA 2019.

Hari terakhir pertandingan semalam menyaksikan Malaysia menutup tirai saingan edisi ke-30  yang berlangsung di tiga lokasi berbeza - Manila, Clark dan Subic - dengan mengutip 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.

Jumlah itu jelas jauh tersasar daripada apa yang dijangkakan kontinjen negara sebelum ini iaitu meraih 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa.

Bukan saja buruan emas tidak tercapai malah pungutan gangsa juga jauh tersasar.

Kegagalan kali ini adalah yang keempat terburuk dalam sejarah 20 tahun terakhir penyertaan Malaysia pada temasya dwitahunan itu.

Beberapa acara yang dianggap sebagai lubuk emas sebelum ini gagal menepati sasaran seperti memanah yang sekadar membawa pulang satu berbanding lima emas disasarkan.

Boling juga gagal mencapai sasaran apabila hanya meraih dua daripada empat emas yang menjadi sasaran dan paling mengecewakan adalah skuad pelayaran pulang dengan tangan kosong.

Gimnastik terus menjadi sukan paling cemerlang apabila menyumbang sembilan emas dengan lima diraih menerusi acara artistik dan empat lagi disumbang atlet gimrama.

Kejutan paling besar adalah skuad badminton negara apabila membawa pulang tiga emas biarpun hanya meletakkan sasaran satu emas pada awalnya dengan kejayaan kali ini hadir menerusi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita, S Kisona dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Pelbagai alasan boleh diberikan susulan kemerosotan prestasi atlet negara kali ini. 

Antara faktor utama kegagalan yang menjadi buah mulut pada temasya kali ini adalah masalah yang timbul disebabkan kegagalan tuan rumah menyediakan kemudahan berkelas A termasuklah membabitkan logistik.

Fokus atlet didakwa terjejas disebabkan masalah-masalah yang timbul itu sekali gus gagal mempamerkan prestasi terbaik.

Malah, taufan Tissoy yang melanda Filipina pada awal saingan juga dikatakan sebagai salah satu faktor yang memberi kesan kepada atlet terutama membabitkan sukan pelayaran.

Bagaimanapun, itu tidak seharusnya dijadikan alasan utama kerana atlet dari negara lain turut mengalami nasib sama.

Majlis Sukan Negara (MSN) selaku agensi yang bertanggungjawab mempersiapkan atlet ke temasya dwitahunan itu perlu berjiwa besar dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya.

Satu bedah siasat secara menyeluruh perlu dilakukan dan laporannya perlu didedahkan kepada umum bagi menjamin ketelusan.

Jangan ada sikap untuk menyembunyikan sebarang perkara kerana rakyat sudah bijak untuk menilai.

Persatuan sukan kebangsaan juga tidak boleh lari daripada mengambil tanggungjawab kerana yang bertanding adalah atlet mereka dan seharusnya mereka lebih tahu dengan apa yang berlaku.

Jangan hanya pandai bising apabila tidak diberi peruntukan sebaliknya perlu juga berani menerima hakikat kegagalan.

Yang pasti, Malaysia perlu bangkit segera daripada kegagalan kali ini ketika temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 tinggal lebih kurang tujuh bulan sebelum bermula.

MSN, persatuan sukan kebangsaan dan atlet sendiri perlu belajar daripada kegagalan ini jika tidak mahu kita terus kempunan emas pertama di Olimpik di Tokyo nanti.

Berita Harian X