Isnin, 9 Disember 2019 | 3:00pm
AKSI pemain Malaysia menentang Filipina di Parade Ground. - Foto ihsan Facebook Team Malaysia
AKSI pemain Malaysia menentang Filipina di Parade Ground. - Foto ihsan Facebook Team Malaysia

Tulisan keramat di tangan pemain ragbi curi tumpuan

CLARK: "Ia (tulisan ibu bapa di pergelangan tangan) mungkin salah satu cara pemain ragbi kita menunjukkan mereka bermain demi keluarga dan negara".

Demikian reaksi ketua jurulatih skuad ragbi tujuh sepasukan (7s) negara, Mohd Saizul Hafifi Mohd Noor apabila diminta mengulas mengenai gambar tulisan keramat di lilitan pergelangan tangan anak buahnya yang tular sejak semalam.

Menerusi gambar pada aksi final menentang Filipina, ada antara pemain yang menulis perkataan 'ibu', 'bapa' dan 'family' di atas lilitan pergelangan tangan sebagai tambahan motivasi.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pasukan negara di Parade Ground, semalam apabila tewas 0-19 kepada tuan rumah yang diperkuatkan sepenuhnya oleh pemain import dari Australia dan New Zealand.

Kegagalan itu menyebabkan misi skuad ragbi negara untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Kuala Lumpur lebur.

AKSI pemain Malaysia menentang Filipina di Parade Ground. - Foto ihsan Facebook Team Malaysia
AKSI pemain Malaysia menentang Filipina di Parade Ground. - Foto ihsan Facebook Team Malaysia

"Rata-ratanya pemain menulis perkataan ibu, bapa dan keluarga dari awal pertandingan lagi.

"Pemain berbuat demikian kerana ingin membakar semangat perjuangan dalam diri mereka sekali gus meningkatkan motivasi.

"Ada antara pemain yang kali pertama beraksi di temasya Sukan SEA sebab itu ada yang mengalirkan air mata bila tewas pada final semalam," katanya.

Menurut jurulatih berusia 36 tahun itu, dia sendiri tidak menyangka Filipina begitu kuat selepas langsung tidak pernah menentang mereka tahun ini.

"Memang kelebihan memihak mereka kerana beraksi di laman sendiri selain diperkuatkan pemain dari Australia dan New Zealand yang diberikan kewarganegaraan.

"Kita memang diberitahu sejak dari awal bahawa Filipina akan mengimport empat atau lima pemain asing tetapi terkejut apabila mereka turun dengan semua 12 pemain import,” katanya.

Namun, katanya pujian perlu diberikan kepada pemainnya yang sudah memberikan yang terbaik sepanjang temasya dwitahunan itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X