Sabtu, 7 Disember 2019 | 5:13pm
ATLET gimrama negara Koi Sie Yan (kanan) dan Izzah Amzan menunjukkan pingat-pingat yang dimenangi dalam acara Gimrama Kategori Wanita Akhir pada Sukan SEA Manila 2019 di Kompleks Sukan Rizal Memorial. - Foto BERNAMA

Bantahan kontinjen Malaysia berbaloi

MANILA: Bantahan dikemukakan kontinjen Malaysia terhadap keputusan juri ketika final acara riben tidak sia-sia apabila Koi Sie Yan dan Izzah Amzan masing-masing dinobatkan sebagai juara bersama di Kompleks Sukan Rizal Memorial, hari ini.

Dua atlet gimrama negara itu masing-masing mengumpul 15.200 mata untuk memenangi emas manakala atlet Thailand, Nat Kulsanawong meraih gangsa dengan catatan 14.050 mata.

Tiada pemenang pingat perak bagi acara itu.

Kontroversi mula timbul apabila juri memilih Sie Yan sebagai pemenang berdasarkan markah rutin atlet berusia 20 tahun itu lebih tinggi, namun keputusan berkenaan berubah hasil campur tangan ketua kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Berdasarkan peraturan pertandingan, atlet yang mengumpul jumlah mata sama perlu diberi kemenangan bersama seperti yang berlaku pada temasya sebelum ini.

Susulan insiden itu, upacara penyampaian pingat tertangguh selama satu jam sebelum diteruskan dengan kedua-dua atlet negara diumum sebagai pemenang emas.

Ini bukan kali pertama buat Sie Yan yang perlu berkongsi emas selepas turut mengalaminya ketika edisi 2015 di Singapura yang mana ketika itu dia memenangi emas secara bersama dengan rakan sepasukan N Shasangari Sivaneswari bagi acara individu keseluruhan.

"Kalau ikutkan ini adalah kemenangan emas bersama yang kedua. Dulu di Singapura saya menang emas dan Shasangari dapat mata yang sama.

"Kali ini saya sekali lagi menang dan berkongsi pula dengan Izzah. Saya tidak kisah berkongsi kemenangan kerana ia kemenangan untuk Malaysia," kata Sie Yan yang turut meraih perak bagi acara belantan.

Sementara itu, Izzah yang turut memenangi emas acara bola selain satu perak menerusi acara gelung menyifatkan temasya dwitahunan edisi ke-30 ini paling mencabar baginya berbanding di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Bagi saya Sukan SEA kali ini sedikit sukar. Sudah tentu kami nak bawa balik sebanyak mungkin emas namun ada saja perkara yang menjadi halangan.

"Gimrama adalah sukan yang subjektif, jadi kita tak boleh nak agak apa yang akan terjadi. Tapi kami gembira dapat berikan terbaik dan itu lebih penting," kata Izzah.

Skuad gimrama turut cemerlang memenangi emas acara berpasukan keseluruhan dengan catatan 40.050 mata.

Berita Harian X