Sabtu, 7 Disember 2019 | 2:38pm
Gaya Izzah Amzan ketika memperagakan aksi dalam displin bola acara Individu Akhir Gimrama Sukan SEA Filipina 2019 di Coliseum Memorial Rizal. - NSTP/Osman Adnan

Gimrama raih 3 emas dalam 2 acara

 

MANILA: Skuad gimrama negara menghadiahkan tiga pingat emas buat kontinjen Malaysia, hari ini selepas mengungguli saingan aparatus bola dan riben di Kompleks Sukan Rizal Memorial di sini.

Izzah Amzan paling mencuri tumpuan apabila berjaya meraih dua emas termasuk berkongsi pingat sama dengan Koi Sie Yan dalam acara riben.

Emas dalam acara itu dikongsi bersama dua atlet negara selepas masing-masing mengutip 15.200 mata.

Atlet gimrama negara, Izzah Amzan meraih pingat emas dalam acara gimrama kategori bola akhir wanita pada Sukan SEA 2019 di Kompleks Sukan Rizal Memorial hari ini. - Foto BERNAMA

Tiada pemenang perak bagi acara itu dengan atlet Thailand, Nat Kulsanawong meraih gangsa selepas sekadar mengumpul 14.050 mata.

Terdahulu, Izzah mempertahankan emas dimenangi dua tahun lalu bagi aparatus bola selepas mengumpul 17.800 mata.

Dia mengatasi pencabar terdekat Kulsanawong, yang meraih perak dengan catatan 16.300 mata manakala gangsa  dimenangi atlet Filipina, Daniela Reggie Dela Pisa dengan catatan 15.600 mata.

Aksi Koi Sie Yan acara Gimrama di Coliseum Memorial Rizal. - NSTP/Osman Adnan

Izzah dan Sie Yan masing-masing turut meraih perak menerusi aparatus gelung dan belantan. 

Seorang lagi atlet negara, Amy Kwan meraih gangsa dalam aparatus gelung.

Berita Harian X