Khamis, 5 Disember 2019 | 8:46pm
Ahmad Muaz Fishol dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman raih perak dalam acara beregu campuran di di Pusat Beli Belah Starmall EDSA-Shaw, Manila.
Ahmad Muaz Fishol dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman raih perak dalam acara beregu campuran di di Pusat Beli Belah Starmall EDSA-Shaw, Manila.

Muaz-Siti Safiyah terlepas emas

MANILA: Pasangan tenpin boling negara, Ahmad Muaz Fishol dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman terpaksa membayar harga yang tinggi di atas kegagalan mereka mengekalkan fokus apabila terlepas pingat emas acara beregu campuran, hari ini.

Sebaliknya, gandingan itu terpaksa berpuas hati dengan perak dalam aksi yang berlangsung di Pusat Beli Belah Starmall EDSA-Shaw.

Muaz-Siti Safiyah mendahului dengan 2,284 jatuhan pin selepas lima permainan tetapi gagal mengekalkan momentum itu apabila masing-masing hanya berjaya mencatat 197 dan 191 jatuhan pada permainan terakhir.

Pasangan berkenaan mengumpul keseluruhan 2,627 jatuhan pin, menamatkan saingan di belakang pemenang emas, Ryan Lalisang-Aldila Indryati dari Indonesia yang mencatat 2,698 jatuhan pin.

Gandingan kedua Indonesia, Hardy Rachmadian-Sharon Limansantoso meraih gangsa dengan 2,557 jatuhan pin.

Muaz yang membuat penampilan ketiga pada Sukan SEA, berkata dia dan Siti Safiyah gagal melakukan perubahan yang diperlukan dengan pantas ketika permainan terakhir.

"Biarpun ada sedikit peningkatan ketika itu namun pasangan Indonesia sudah mendahului kami selepas berjaya secara konsisten melakukan strike.

"Diharapkan kami dapat melakukan yang lebih baik pada saingan berpasukan lelaki dan wanita esok," katanya.

Selepas enam acara, Indonesia mendahului carta keseluruhan apabila memenangi tiga emas satu perak dan satu gangsa diikuti Malaysia dan Singapura yang masing-masing mengutip satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Berita Harian X