Rabu, 27 November 2019 | 7:18pm
Noorul (kanan) dan Michelle menyerahkan kad keahlian YAKEB kepada Khiam Hon (tengah).
Noorul (kanan) dan Michelle menyerahkan kad keahlian YAKEB kepada Khiam Hon (tengah).

'Ada kad baru boleh dapat rawatan'

KUALA LUMPUR: Bekas atlet negara yang masih belum mendaftar dan mempunyai kad keahlian Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) digesa mendapatkannya segera bagi membolehkan mereka menerima rawatan di hospital kerajaan.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, hanya bekas atlet yang berdaftar dengan yayasan itu serta mempunyai kad keahlian akan mendapat kemudahan wad kelas 2 dan dikecualikan caj rawatan di hospital kerajaan.

“Susulan langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memansuhkan rawatan hospital swasta buat bekas atlet kebangsaan, mereka kini boleh mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dengan beberapa kemudahan yang ditawarkan termasuk semua kos perubatan ditanggung sepenuhnya.

“Namun, mereka yang mahu mendapatkan rawatan di hospital kerajaan perlu menunjukkan kad keahlian YAKEB untuk membolehkan mereka mendapat kemudahan yang ditawarkan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kad keahlian kepada Liew Khiam Hon yang secara tidak langsung membolehkan bekas pemain hoki negara yang beraksi di Sukan Olimpik 1976 di Montreal itu menerima rawatan kesihatan di hospital kerajaan.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze dan Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abd Manaf.

Sejak Ogos lalu, KBS memansuhkan rawatan hospital swasta  buat bekas atlet kebangsaan dengan mereka kini boleh menggunakan perkhidmatan hospital kerajaan kerana kos rawatan tiada had dan ditanggung sepenuhnya.

Kerajaan membuat keputusan untuk memberikan subsidi 100 peratus dengan anggaran RM3 juta hingga RM10 juta.

Noorul berkata, bekas atlet kebangsaan yang belum mendaftar dan tidak mempunyai kad boleh menghubungi Skuad YAKEB.

“Skuad ini akan membantu bekas atlet yang memerlukan bantuan. Mereka boleh menghubungi telefon pejabat 03-20924844/4841 atau pengurus operasi skuad, Aminuddin (Mohd Nasir),” katanya.

 

Berita Harian X