Ahad, 10 November 2019 | 9:25pm
Presiden Persatuan Hoki Kedah (KHA), Mohd Asmirul Anuar Aris. - Foto Amran Hamid

KHA perjelas kekeliruan 2 borang pencalonan MHC

 

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Hoki Kedah (KHA), Mohd Asmirul Anuar Aris akhirnya tampil menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul berkaitan borang pencalonan bagi pemilihan ahli jawatankuasa Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Sambil mengakui kesal dengan segala tuduhan dilemparkan, beliau menerusi sepucuk surat turut menegaskan hanya borang pencalonan ditandatanganinya pada 24 Oktober lalu sebagai sah.

Surat itu diserahkan kepada pengurus besar MHC, Norfaraha Hashim dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Dr Wirdati Mohd Radzi hari ini.

"Selepas meneliti maklumat dalam media massa, saya amat dukacita terdapat begitu banyak penyebaran maklumat salah serta tuduhan palsu kepada pelbagai pihak berkenaan dengan pencalonan daripada KHA.  

"Sebagai Yang Dipertua saya tidak pernah menurun kuasa atau memberi kebenaran mana-mana ahli jawatankuasa saya untuk mewakili KHA dalam urusan surat-menyurat ataupun pengeluaran kenyataan media. Ia salah daripada segi perwakilan sesebuah organisasi," katanya dalam surat itu. 

Justeru Mohd Asmirul berkata, tindakan sewajarnya akan diambil kepada semua pihak yang memburukkan nama persatuan itu serta Kedah secara keseluruhannya. 

"Pihak MHC memohon pengesahan daripada saya sebagai presiden pada 4 November lalu dan masa itu barulah saya mengetahui terdapat penghantaran borang lain yang palsu. 

"Saya amat hairan selepas MHC memaklumkan senarai calon yang layak terdapat pelbagai tuduhan yang tidak berasas," katanya.

Sebelum ini KHA menerusi surat ditandatangani Naib Presidennya, Thaitchana Muruthi membuat bantahan berhubung kemelut pertukaran nama calon presiden di saat akhir yang menafikan Datuk Kamarudin Meranun bertanding jawatan presiden MHC.

Berita Harian X