Ahad, 10 November 2019 | 5:38pm
Gambar fail, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun. - Foto Syarafiq Abd Samad

Kemelut MHC makin rumit

 

KUALA LUMPUR: Kemelut pemilihan pucuk pimpinan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memasuki satu lagi episod baharu dengan kali ini giliran badan induk itu pula tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan Persatuan Hoki Kedah (KHA) bahawa senarai calon dihantar mereka ditukar pada saat akhir.

Situasi itu menyaksikan Pengerusi Eksekutif Air Asia Group, Datuk Kamarudin Meranun tidak layak bertanding bagi jawatan presiden selepas hanya mendapat dua pencalonan - daripada Persatuan Hoki Johor (JHA) dan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA).

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC, Jadadish Chandra, mengakui pihaknya menerima dua senarai borang pencalonan daripada KHA yang masing-masing ditandatangani presiden Mohd Asmirul Anuar dan setiausaha, Sandra Ganesan.

"KHA menghantar senarai pertama pencalonan pada 24 Oktober yang ditandatangani presiden, Mohd Asmirul Anuar dengan mereka mencalonkan Datuk Seri Subahan Kamal bertanding jawatan presiden MHC.

"Namun, KHA menghantar senarai kedua pencalonan ditandatangani setiausaha persatuan itu, Sandra Ganesan pada 1 November dengan mencalonkan Datuk Kamarudin bagi bertanding jawatan presiden. 

“Jadi, ada dua senarai pencalonan yang dihantar oleh KHA. Jadi, MHC pada 4 November menghantar surat kepada KHA bagi memaklumkan mengenai perkara itu (ada dua borang senarai pencalonan) dan memohon presiden memberi maklum balas serta mengesahkan borang mana akan digunakan.

"Pada hari sama, MHC menerima surat maklum balas daripada KHA ditandatangani presiden mengesahkan bahawa senarai rasmi akan digunakan KHA adalah yang dihantar kepada MHC bertarikh 24 Oktober," katanya.

Jadadish memberitahu tindakan MHC yang hanya menghantar surat kepada presiden dan tidak kepada setiausaha adalah disebabkan kuasa yang ada pada individu memegang jawatan nombor satu dalam persatuan negeri itu.

"Kenapa hanya hantar surat kepada presiden? Ini disebabkan perlembagaan dalam hampir semua persatuan negeri presiden diberi kuasa untuk melantik setiausaha dan bendahari. Jadi, jelas mengikut hirarki, presiden ada kuasa untuk memecat setiausaha dan bendahari.

"Saya juga tidak fikir ada perlembagaan dalam mana-mana persatuan negeri yang memerlukan mesyuarat majlis diadakan bagi menentukan senarai pencalonan ingin dihantar," katanya.

Dalam pada itu, Jadadish menegaskan AGM MHC tetap akan diteruskan seperti dijadual pada 16 November ini biarpun ada pihak mendesak badan induk itu membatalkan dan mengadakan semula proses pencalonan susulan kemelut ketika ini.

"Sebagai seorang peguam, saya boleh beritahu apabila tarikh AGM sudah ditetapkan, ia akan diteruskan. Sebarang isu berbangkit hanya boleh diambil tindakan selepas selepas AGM.

"Mahkamah tiada kuasa untuk menghalang AGM syarikat atau persatuan daripada berlangsung dan ini termasuklah EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa). Ini adalah undang-undang," kata Jadadish yang bertanding bagi jawatan timbalan presiden lelaki.

 

 

Berita Harian X