Sabtu, 9 November 2019 | 5:01pm
Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman. - STR/Owee Ah Chun

Megat D Shahriman kecewa taktik kotor MHC

 

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dilihat menggunakan taktik kotor dengan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu secara tergopoh-gapah.

Pandangan itu diutarakan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman yang kecewa dengan perjalanan proses pemilihan kali ini.

Ini selepas badan induk itu tampak sengaja meletakkan semua ahli gabungan dalam situasi tidak menang tangan gara-gara tarikh tutup penamaan calon bertembung dengan perlawanan Malaysia menentang Great Britain pada 2 November lalu.

"AGM dibuat ketika pasukan negara kita menghadapi aksi kelayakan Olimpik, malah selang enam hari kemudian juga menjadi tarikh tutup pengesahan penyertaan pasukan Liga Hoki Malaysia 2020.

"Saya rasa tindakan itu sebagai tergopoh-gapah. Apa yang mereka nak risaukan... kenapa nak buat semua benda dalam satu masa.

"Sepatutnya mereka buat dengan teratur. Saya rasa ada kelompongan atau taktik kotor dan sepatutnya tidak boleh berlaku kerana sukan bukan tempat untuk berpolitik," katanya.

Megat D Shahriman yang juga calon Timbalan Presiden MHC turut meluahkan rasa kesalnya ekoran kegagalan penyandang presiden, Datuk Seri Subahan Kamal menunaikan janji melepaskan jawatan.

"Selama empat tahun sebelum ini beliau sudah menjalankan tugasnya. Jadi sebenarnya sudah tiba masanya untuknya mengotakan janji.

"Apabila anda tidak mencapai apa yang disasarkan, anda seharusnya berundur. Tak semestinya bila anda sudah tiada di dalam MHC, anda tidak boleh menabur bakti.

"Saya rasa kami semua menghormati keputusan beliau sebelum ini (tidak bertanding) dan berterima kasih dengan apa yang dilakukannya. Tapi apabila perkara ini berlaku, ia menjejaskan imej sukan hoki di negara ini," katanya.

Beliau merujuk kepada janji Subahan sebelum ini yang berulang kali menyatakan pendirian untuk tidak mempertahankan jawatannya sekiranya skuad hoki lelaki negara gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo namun Subahan membuat pusingan U dan akan disahkan menang tanpa bertanding pada AGM, 16 November ini.

Pada masa sama, Megat D Shahriman menyifatkan keputusan untuk menafikan pencalonan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun sebagai satu kerugian besar buat sukan hoki.

"Satu kehilangan besar kepada sukan hoki. Secara peribadi saya mengenali beliau dan dia sangat komited. Lihat bagaimana dia meletakkan AirAsia di peta dunia," katanya.

Megat bagaimanapun tidak berganjak daripada pendiriannya untuk bertanding kerusi timbalan presiden meskipun beliau dilihat berseorangan dan tidak mempunyai sokongan daripada mana-mana kem.

 

 

Berita Harian X