Khamis, 7 November 2019 | 7:41pm
Gambar fail, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi. - Foto Osman Adnan

'Rombongan London' beri gambaran tak baik

KUALA LUMPUR: Tindakan Kesatuan Hoki Malaysia (MHC) membawa wakil persatuan negeri ke London bagi menyaksikan aksi playoff kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini dianggap mencemarkan imej sukan tanah air.

Situasi itu bertambah buruk terutama apabila ia hampir dengan tarikh pemilihan pucuk pimpinan badan induk itu.

Justeru, bekas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi meminta MHC tampil memberi penjelasan mengenai alasan badan induk itu sanggup mengeluarkan perbelanjaan tinggi membawa rombongan ke London.

“Akhirnya, kehadiran mereka ke London tidak memberi impak yang besar kepada pasukan hoki negara apabila gagal layak ke Sukan Olimpik. Sebaliknya, ia lebih memberi impak terhadap keputusan bagi pemilihan pucuk pimpinan baharu.

“Fair play atau permainan bersih bukan saja perlu diamalkan tetapi perlu dilihat sebagai amalan.

“Menghantar pihak berkepentingan ke London secara percuma memberi gambaran atau mesej yang tidak baik kepada orang awam sekali gus memberi imej buruk kepada sukan tanah air dan MHC khususnya,” kata Kok Chi kepada BH Sukan, hari ini.

Semalam, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal yang berjanji mahu meletakkan jawatan sekiranya skuad negara gagal layak ke Sukan Olimpik, mempertahankan jawatannya menjelang pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 16 November ini.

Ini selepas beliau yang mendapat 13 pencalonan secara tidak rasminya disahkan menang tanpa bertanding selepas pencabarnya iaitu Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun hanya memperoleh dua pencalonan.

Mengikut perlembagaan MHC, tiga pencalonan diperlukan untuk membolehkan seseorang itu bertanding bagi merebut jawatan presiden.

Bagi Kok Chi, peraturan yang ditetapkan MHC itu seolah-olah memberi gambaran badan induk itu tidak mempercayai ahli gabungannya apabila memerlukan sehingga tiga pencalonan bagi membolehkan individu yang berminat untuk bertanding.

 

 

Berita Harian X