Khamis, 7 November 2019 | 7:00pm
Gambar fail, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto Owee Ah Chun

Subahan ambil pendekatan bersabar, simpati nasib Kamarudin

KUALA LUMPUR: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal mengambil pendekatan bersabar dengan sebarang tohmahan yang dilemparkan terhadap dirinya selepas diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan itu untuk penggal 2019/2023.

Bagaimanapun, beliau menerusi kenyataan yang dilaporkan Harian Metro  tidak menolak untuk mengambil tindakan sebaik tamat Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MHC pada 16 November ini.

“Semua tohmahan saya bersabar dan akan mengambil tindakan selepas AGM pada 16 November ini. Kekuatan saya adalah keikhlasan dan kerajinan.

“Empat tahun pentadbiran dijalankan dengan begitu baik sehingga mendapat lima bintang daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS). Hutang (pentadbiran terdahulu) yang ditinggalkan sudah saya jelaskan berjumlah RM2.6 juta.

“Jadi, tidak perlu saya komen lebih dengan ahli gabungan tahu menilai. Hanya simpati dengan Datuk Kamarudin Meranun yang juga sahabat saya digunakan orang tertentu untuk kepentingan mereka,” kata Subahan yang dipetik dalam laporan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC, Jadadish Chandra ketika mengumumkan senarai calon layak bertanding bagi pemilihan pucuk pimpinan MHC sempena AGM kali ini memberitahu Subahan yang mendapat 13 pencalonan bakal diumumkan sebagai menang tanpa bertanding pada mensyuarat itu nanti selepas Kamarudin yang menjadi pencabarnya hanya mendapat dua pencalonan.

Mengikut perlembagaan MHC, tiga pencalonan diperlukan untuk membolehkan seseorang itu bertanding bagi merebut jawatan presiden.

Bagaimanapun, pada satu sidang media khas, semalam, Timbalan Presiden Persatuan Hoki Johor (JHA), Datuk Majid Manjit Abdullah mendedahkan Kamarudin mendapat pencalonan ketiga daripada Persatuan Hoki Kedah (KHA) sebelum ada individu yang menukar senarai calon dihantar badan induk itu pada saat akhir.

Susulan kemelut itu, Majid memaklumkan semua calon daripada kem Kamarudin menarik diri daripada pemilihan yang akan berlangsung kali ini.

Ia termasuklah dirinya sendiri yang dicalonkan sebagai naib presiden selain calon timbalan presiden wanita, K Maheswari sekali gus menyaksikan penyandang, Prof Datuk Dr S Shamala menang tanpa bertanding.

Tiga lagi calon naib presiden, Datuk Ow Soon Kooi, Datuk Che Khalib Mohamad Noh dan Lum Sau Foong turut menarik diri.

“Itu hak masing-masing. Jika saya mendapat 13 pencalonan pasti negeri tahu menilai baik dan buruk,” tambah Subahan ketika ditanya mengenai usaha memanjangkan perkara itu kepada PPS.

Berita Harian X