Rabu, 6 November 2019 | 10:49pm
PENGASAS Poad Sprint Academy (PSA), Mohd Poad Md Kassim. - Foto Asyraf Hamzah

Poad Sprint Academy cemerlang di Sabah

KUALA LUMPUR: Pengasas Poad Sprint Academy (PSA), Mohd Poad Md Kassim berharap keputusan memberangsangkan dicipta dalam kejohanan olahraga di Sabah baru-baru ini dapat diteruskan sekali gus dipertingkatkan.

PSA yang menjalinkan kerjasama dengan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) menamatkan Kejohanan Balapan dan Padang Peringkat Umur ke-3 di tempat kedua dengan kutipan sembilan emas, dua perak dan dua gangsa.

SSM Sabah bergelar juara dengan kutipan 22 pingat secara keseluruhan dalam kejohanan selama tiga hari yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu itu.

“Ini pertama kali atlet di bawah PSA beraksi dan saya harap akan ada peningkatan dalam kejohanan lain selepas ini.

“PSA juga berharap ada pihak yang dapat menjadi penaja kerana kita memerlukan pusat rehabilitasi dan pemulihan untuk atlet di SSTMI,” kata Mohd Poad kepada BH Sukan.

BH Sukan pada April lalu melaporkan PSA memerlukan sekurang-kurangnya RM200,000 setahun untuk mengendali serta menyelia akademi berkenaan yang antaranya bertujuan melahirkan lebih ramai bakat olahraga.

Sebagai jurulatih, Poad sudah melahirkan beberapa atlet terkemuka antaranya adalah Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Muhammad Zulfiqar Ismail, Muhammad Haiqal Hanafi serta atlet 400m dan 4x400m (Abdul Wafiy Roslan, Muhamad Ilham Suhaimi, Luqman Nur Hakim Khairul Ajmal dan Saiful Safwan Saifuddin).

Seramai lapan atlet di bawah PSA terpilih mewakili negara ke temasya Sukan SEA Filipina 2019 iaitu Muhammad Haiqal Hanaifi (4x100m), Khairul Hafiz (4x100m), Zulfiqar (100m, 4x100m), Wafiy (4x400m), Luqmanul Hakim (400m, 4x100m, 4x400m), Saiful Safwan (400m, 4x400m), Ilham (4x400m) dan Ruslem Zikry Putra (400m lari berpagar, 4x400m).

Berita Harian X