Rabu, 6 November 2019 | 6:11pm
Pasukan WP KL merangkul kejuaraan pada Kejohanan Bola Jaring Terbuka Kebangsaan 2019. - FB Majlis Sukan Wilayah Persekutuan

WP KL juara Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Biarpun hanya mempertaruhkan skuad bawah 21 tahun, pasukan bola jaring Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WP KL) tidak menghadapi masalah untuk merangkul kejuaraan ketiga berturut-turut Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke-41 , di sini, hari ini.

Pada perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara itu, ia berjaya menewaskan Perak, 53-35. Ini adalah gelaran ke-35 diraih pasukan berkenaan sehingga kini.

Sebelum berjaya merangkul gelaran itu, pasukan WP KL diberi tentangan sengit sejak permulaan permainan apabila hanya mampu mendahului 16-13 pada suku pertama.

Bagaimanapun pasukan itu kemudian bangkit menjarakkan kedudukan pada suku berikutnya dengan mencatatkan 32-21 dan kemudian 44-26 sebelum akhirnya menang 53-35.

Jurulatih WP KL, Norizan Rajab melahirkan rasa gembira dan syukur dengan kejayaan anak buahnya itu.

"Pada suku pertama, Perak memberi tekanan kepada kami dengan melakukan permainan pantas namun kami berjaya mengatasi itu pada suku berikutnya dan terus menjarakkan kedudukan dengan selesa," katanya.

Ketika ditanya rahsia kejuaraan WP KL yang dapat mengumpul sehingga 35 gelaran kebangsaan, Norizan berkata usaha keras yang berpanjangan menyumbang kepada kejayaan berkenaan.

"Banyak pengorbanan yang dilakukan pasukan selama lebih setahun ini. Selepas Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu di Perak, kami berehat dua bulan sahaja dan meneruskan latihan seperti biasa.

"Kejayaan ini adalah hasil persiapan rapi yang dilakukan selama ini dan kini kami sudah ada 16 pemain yang bakal menyertai SUKMA di Johor pada tahun hadapan," katanya.

Terdahulu, perlawanan penentuan pingat gangsa menyaksikan Johor menewaskan Terengganu 53-50.

Berita Harian X