Rabu, 6 November 2019 | 12:31pm
Gambar fail, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal pada sidang media Sempena Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif kali ke 14 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada September lalu. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Subahan kekal Presiden MHC

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Subahan Kamal berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Kesatuan Hoki Malaysia (MHC) menjelang pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 16 November ini.

Ini selepas beliau yang mendapat 13 pencalonan secara tidak rasminya disahkan menang tanpa bertanding selepas seorang lagi calon iaitu Pengerusi Eksekutif Air Asia Group Bhd, Datuk Kamarudin Meranun hanya memperoleh dua pencalonan.

Tarikh tutup pencalonan adalah pada 2 November jam 3 petang.

“Mengikut perlembagaan, Datuk Kamarudin tidak memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu memerlukan tiga pencalonan untuk pemilihan jawatan presiden dan untuk itu beliau tidak layak bertanding.

“Jadi, jawatan presiden akan diumumkan sebagai menang tanpa bertanding pada AGM nanti,” kata Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC, Jadadish Chandra ketika sidang media di pejabat badan induk itu, hari ini.

Sementara itu, perebutan jawatan timbalan presiden lelaki bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru membabitkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah selain Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Jadadish.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah meraih 14 pencalonan manakala Megat dan Jadadish masing-masing satu pencalonan.

Bagi jawatan timbalan presiden wanita, penyandangnya, Prof Datuk Dr Sharmala Subramaniam akan bersaing dengan bekas pemain kebangsaan, Maheswari Kanniah.

Dalam pada itu, seramai 17 calon akan bertanding bagi merebut jawatan naib presiden lelaki manakala lima calon beraing bagi jawatan naib presiden wanita.

“Semua calon boleh menarik diri daripada bertanding bermula 8 November sehingga tarikh AGM berlangsung,” kata Jadadish.

Berita Harian X