Isnin, 28 Oktober 2019 | 8:19pm
Timmy Tan meraih pingat emas kedua peribadinya pada Kejohanan Tenpin Boling Asia di Salmiya. - Arkib NSTP
Timmy Tan meraih pingat emas kedua peribadinya pada Kejohanan Tenpin Boling Asia di Salmiya. - Arkib NSTP

Timmy raih emas kedua di Kuwait

KUALA LUMPUR: Timmy Tan meraih pingat emas kedua peribadinya pada Kejohanan Tenpin Boling Asia di Salmiya, Kuwait hari ini selepas muncul juara kategori all-event.

Ia adalah emas kelima Malaysia selepas dia turut mempertahankan emas acara perseorangan lelaki di hari ketiga.

Kejayaan pemain berusia 25 tahun itu dibantu pungutan mata konsistennya dalam empat acara disertainya iaitu 1,556 mata jatuhan pin dalam acara perseorangan, 1,360 (beregu), 1,472 (trio) dan 1,417 (berpasukan).

Bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk membantu skuad lelaki negara meraih penamat podium dalam acara berpasukan selepas sekadar meraih tempat ketujuh.

Bagi Timmy, fokus sebenarnya adalah bagi membantu pasukan negara meraih penamat terbaik ketika kategori all-event tidak terlalu difikirkannya.

"Saya amat gembira untuk memenangi acara all-event kerana selepas blok pertama permainan saya berada di tempat kedua dengan ketinggalan 12 jatuhan pin.

"Dan saya hanya memberitahu diri sendiri untuk melakukan balingan terbaik dan meningkatkan peluang pasukan negara memenangi pingat dan percaya kemenangan all-event akan datang dengan sendirinya.

"Dan pada pusingan terakhir saya tidak tahu sama ada saya mendahului atau tidak, cuma saya berbisik kepada hati  untuk terus bersabar," katanya.

Tiga lagi pingat emas negara pada kejohanan itu disumbangkan oleh ratu boling negara, Shalin Zulkifli; serta pasukan trio lelaki dan wanita negara.

Berita Harian X