KUALA LUMPUR: Persatuan sukan di negara ini saran memberi ruang dan peluang lebih terbuka kepada pembabitan kesamarataan jantina terutama di peringkat pembuat keputusan.
Pesuruhjaya Sukan, Dr Wirdati Mohd Radzi berkata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah pun mengarahkan pihaknya untuk memberi khidmat sokongan kepada semua persatuan sukan baru atau lama untuk meminda perlembagaan masing-masing bagi mencapai sasaran itu.
"Menteri mahukan kalau boleh perlembagaan menetapkan kesamarataan jantina bukan satu jantina sahaja. Maknanya, kita akan membantu persatuan untuk memasukkan wanita ke dalam perlembagaan. Begitu juga dengan generasi muda untuk di masukkan sama," katanya kepada Sukan BH.
Wirdati berkata pembabitan wanita dalam peringkat pembuat keputusan di dalam persatuan sukan itu adalah selari dengan perancangan Syed Saddiq yang menjadikan 2020 sebagai tahun untuk wanita dan sukan.
"Belanjawan 2020 yang memperuntukkan perbelanjaan khas untuk pembangunan wanita dalam sukan juga bagi saya ia adalah satu pencapaian kepada sukan di Malaysia kerana menteri sendiri sangat percaya wanita adalah satu demografi yang selama ini tak dioptimakan daripada segi pembabitan," katanya.
Belanjawan 2020 memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk pembangunan wanita dalam sukan dan ia adalah yang kali pertama diberikan sebanyak itu.
"Lebih banyak program yang membabitkan penyertaan wanita secara berterusan akan dilakukan pada tahun hadapan. Contohnya, kalau kita mahukan ramai rakyat Malaysia bergiat dalam sukan, kenalah kita bawa 'induknya' iaitu mak dia dan dengan itu lebih banyak peluang akan dicipta.
"Peruntukan itu nanti digunakan bukanlah berbentuk program jangka masa pendek tetapi perlulah berterusan bukan sahaja dalam penyertaan sukan tetapi dalam pentadbiran sukan," katanya.