Jumaat, 11 Oktober 2019 | 8:13pm
TIMBALAN Presiden Persatuan Hoki Johor (JHA), Datuk Manjit Majid Abdullah tengah) dan pengurus pasukan bergambar bersama trofi yang dipertandingkan ketika sidang media Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2019 di Johor Bahru. NSTP/Hairul Anuar Rahim
TIMBALAN Presiden Persatuan Hoki Johor (JHA), Datuk Manjit Majid Abdullah tengah) dan pengurus pasukan bergambar bersama trofi yang dipertandingkan ketika sidang media Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2019 di Johor Bahru. NSTP/Hairul Anuar Rahim

India tetap hormat Malaysia

JOHOR BAHRU: Jurulatih India B J Kariappa tetap menghormati Malaysia biarpun pasukan kendaliannya diletakkan sebagai pilihan untuk memenangi aksi pertama itu apabila kedua-dua pasukan bertembung pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, malam esok.

Dia yang mengambil alih tugas daripada Jude Sebastian mengakui agak resah dengan tugas baharu itu tatkala sasaran utama adalah muncul juara pada edisi kesembilan selepas muncul naib juara pada tahun lalu.

"Malaysia tetap sebuah pasukan yang baik, apatah lagi mereka bermain di laman sendiri dan mendapat sokongan penyokong tempatan. Itu sudah pasti akan memberikan motivasi buat mereka,” kata Kariappa.

"Selain itu, Malaysia sudah membuktikan kemampuan mereka ketika memenangi emas Sukan Olimpik Belia tahun lalu. Jadi, kemampuan Malaysia tidak boleh dipandang rendah.

"Namun, saya percaya pemain saya juga sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan kali ini. Kami berpeluang mengadakan siri jelajah sebelum ini termasuklah di Madrid, Sepanyol untuk saingan Kejohanan Jemputan 8 Negara pada Jun lalu.

"Kami juga gembira apabila dua pemain yang membarisi pasukan senior, Dilpreet Singh dan Gursahibjit Singh diberi pelepasan untuk bersama kami kali ini."

Pada kejohanan di Madrid, India yang juga juara SOJC dua kali bersaing dengan tujuh pasukan lain - Jerman, Sepanyol, Belgium, Australia, Britain, Belanda dan Austria.

Mereka menamatkan saingan itu di tempat ketujuh.

Kariappa mengekalkan hampir semua pemain yang beraksi di Madrid, Sepanyol dengan hanya membuat pertukaran enam pemain bagi menghadapi saingan SOJC kali ini.

Malaysia dan India masing-masing tewas dalam aksi pemanas badan menjelang pertembungan sulung itu apabila skuad remaja negara tunduk 0-2 di tangan Britain, kelmarin manakala anak buah Kariappa akur dengan kekalahan kepada New Zealand 3-4, semalam.

 

 

JADUAL PERLAWANAN PIALA SULTAN JOHOR

Esok

Australia mln Jepun (4.05 petang)

Britain mln New Zealand (6.05 petang)

India mln Malaysia (8.05 malam)

Semua perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

 

 

Berita Harian X