Ahad, 6 Oktober 2019 | 2:44pm
MOHAMAD Rifdean dan Nur Amisha memegang gambar Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sambil menunjukkan pingat emas dimenangi pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Antalya, Turki. - Foto Bernard Radin

Rifdean, Amisha juara Muay Thai Remaja Dunia

IPOH: Dua jaguh Muay Thai negara, Mohamad Rifdean Masdor dan Nur Amisha Azrilrizal berjaya memenangi pingat emas bagi kategori masing-masing sekali gus dinobatkan sebagai juara remaja dunia di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Antalya, Turki, semalam.

Mohamad Rifdean,17, yang juga ketua pasukan negara berjaya menundukkan lawannya Ruach Hashem Gordon dari Israel dengan kemenangan 29-28 bagi kategori lelaki 45 kilogram.

Manakala Nur Amisha,17, yang juga Juara Dunia 2016 menang ke atas lawannya Liubov Plakhova dari Russia dengan keputusan 30-27 bagi kategori wanita 51kg.

Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin ketika dihubungi berkata, selaku jurulatih kepada kedua-dua peninju itu, dia sangat gembira dan berpuas hati dengan prestasi dipamerkan mereka sepanjang kejohanan itu.

“Ini adalah saat paling menggembirakan dalam hidup saya sebagai jurulatih apabila dua peninju saya berjaya memenangi pingat emas dan sekaligus dinobatkan sebagai juara remaja dunia bagi kategori lelaki 45kg dan wanita 51kg.

“Pengorbanan serta usaha kedua-dua mereka membuahkan hasil dan saya berharap dapat melahirkan lebih banyak atlit muay thai bertaraf dunia selepas ini,” katanya yang kini berada di Turki.

Mengulas prestasi kedua-dua pemain itu pada perlawanan akhir, Bernard berkata, Mohamad Rifdean dan Nur Amisha berjaya menunjukkan prestasi terbaik untuk mengasak lawan pda setiap pusingan.

“Asakan dan serangan baik dipamerkan kedua-dua mereka untuk menewaskan lawan masing-masing dan Alhamdulillah kedua-dua mereka menang dengan kiraan mata,” katanya.

Menurut Bernard, kemenangan itu dihadiahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Hari Keputeraan Sultan Perak yang akan disambut pada 1 November ini.

 

 

Berita Harian X