Rabu, 2 Oktober 2019 | 9:33pm
NUR AMISHA teruskan kemaraan di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Turki, hari ini.
NUR AMISHA teruskan kemaraan di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Turki, hari ini.

Nur Amisha ke separuh akhir Muay Thai Remaja Dunia

IPOH: Juara Muay Thai Dunia 2016, Nur Amisha Azririzal melangkah ke separuh akhir kategori wanita 51 kilogram (kg) di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Antalya, Turki, hari ini.  

Nur Amisha, 17, berjaya menumpaskan Idania Leticia Alvarado Lopez dari Mexico dengan kiraan mata 30-27 untuk melayakkan diri ke separuh akhir, esok.  

Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin berkata, Nur Amisha menunjukkan persembahan terbaiknya untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya walaupun menerima saingan hebat lawannya.  

Menurutnya, selepas memperoleh pingat emas pada Kejohanan Muay Thai Asia Timur di Hong Kong, bulan lalu, Nur Amisha adalah prospek untuk memenangi pingat emas pada kejohanan ini.  

"Saya berharap Nur Amisha akan terus mempamerkan persembahan konsisten untuk separuh akhir esok dan layak ke perlawanan akhir sekali gus membawa pulang pingat untuk negara.  

"Keadaan Nur Amisha sekarang ini cukup baik dan kami juga sudah membuat persiapan sebaiknya termasuk berlatih di Thailand ketika negara dilanda jerebu baru-baru ini," katanya yang kini turut berada di Turki.  

Nur Amisha akan menentang peninju tuan rumah, Sevgi Dogan pada separuh akhir.  

Sementara itu, seorang lagi peninju Muay Thai Perak, Ha Xe Xiang, 17, turut membawa cabaran negara pada pusingan kedua kategori lelaki 60kg menentang Mykyta Goncharenko dari Ukraine malam ini.  

Ketua pasukan Muay Thai negara, Mohamad Rifdean Masdor akan menentang Oshan Wathsuka dari Sri Lanka, esok.

 

 

Berita Harian X