Rabu, 25 September 2019 | 9:29pm
Atlet taekwondo negara (dari kiri) Mohd Syafiq Zuber, Ahmad Nor Iman Hakim, Sara Yap Khim Wen dan Agustine Rudy Anak Grocer. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Atlet taekwondo negara (dari kiri) Mohd Syafiq Zuber, Ahmad Nor Iman Hakim, Sara Yap Khim Wen dan Agustine Rudy Anak Grocer. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Wan-jin mantapkan persiapan skuad taekwondo negara

KUALA LUMPUR: Skuad taekwondo negara akan mendapat sentuhan pemain ranking nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kang Wan-jin bagi memantapkan persiapan pasukan menjelang temasya Sukan SEA di Filipina, hujung tahun ini.

Wan-jin yang juga pemenang pingat emas acara berpasukan lelaki di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 bakal menjadi rakan sepelatih buat atlet negara bagi disiplin poomsae dan dia dijangka mencurahkan bakti di Malaysia, bulan depan.

Jurulatih negara, Yap Yih Ting berkata kehadiran Wan-jin penting bagi menjana peningkatan prestasi atlet, malah bantuan dari Korea Selatan (Park Kwong Ho) sebelum ini berjaya membantu negara mengutip sebutir pingat gangsa pada Sukan Asia 2018 menerusi acara poomsae individu wanita menerusi Yap Khim Wen.

“Kini hanya berbaki dua bulan sebelum Sukan SEA, jadi kita akan menjemput atlet ranking nombor satu dunia dari Korea Selatan berlatih bersama selama dua minggu, bulan depan.

“Dia adalah yang terbaik buat masa ini. Pada 2018 kita pernah menjemput juara dunia dua kali (juara dunia Poomsae 2014 dan 2016) berlatih dua minggu di Malaysia sebelum Sukan Asia, dan kita berjaya memenangi satu gangsa di Indonesia,” kata Yih Ting pada sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019 yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Mengulas lanjut, Yih Ting berkata buat masa ini pihaknya meletakkan sasaran untuk meraih satu pingat emas dalam acara poomsae menerusi acara berpasukan campuran.

Bagaimanapun dia optimis mampu meraih lebih daripada jumlah itu berdasarkan pencapaian pingat emas acara individu yang diraih Sara Yap Khim Wen di Kejohanan Taekwondo Terbuka Asia di Vietnam pada Ogos lalu.

Sementara itu, pengarah teknikal, R Dhanaraj berkata Malaysia menyenaraikan enam 12 atlet secara keseluruhan dengan enam daripadanya adalah membabitkan disiplin poomsae dan selebihnya bagi disiplin kyorugi.

“Untuk Sukan SEA di Filipina, kita meletakkan sasaran untuk meraih dua pingat emas iaitu satu menerusi poomsae dan satu emas untuk kyorugi. Ini  kerana kita mahu mengurangkan tekanan selain tidak memiliki kelebihan selaku tuan rumah,” katanya.

Untuk rekod, pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, taekwondo menghadiahkan tiga pingat emas menerusi perseorangan lelaki dan wanita poomsae, masing-masing disumbangkan Chew Wei Yan serta Sara Yap Khim Wen. Rozaimi Rozali pula meraih emas kyorugi lelaki bawah 68 kilogram. 

Berita Harian X