Selasa, 24 September 2019 | 6:52pm

28 jalan ditutup sekitar ibu negara sempena KL Marathon Standard Chartered

KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 jalan sekitar ibu negara akan ditutup dan dilencongkan sempena Larian KL Marathon Standard Chartered 2019 di Dataran Merdeka, bermula jam 3.45 pagi hingga 11.30 pagi pada Sabtu dan Ahad ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata laluan terbabit ialah Jalan Raja, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Jalan Kuching dan Jalan Tuanku Abdul Halim.

Katanya, turut dilencongkan dan ditutup Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Jalan Raja Abdullah, Jalan Langgak Tunku, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku, Jalan Tun Ismail, Jalan Dato’ Onn, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Parlimen, Jalan Damansara, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Kinabalu, Bandar Sultan Hishamudin, Jalan Cenderawasih, Jalan Kampung Pandan dan Jalan Pahang.

“Kita tutup semua jalan itu bermula jam 3.45 pagi kecuali DUKE pada jam 2.30 pagi, kesemua jalan itu dibuka semula pada waktu sama.

“Kira-kira 40,000 peserta dijangka menyertai acara larian peringkat antarabangsa itu anjuran Persatuan Atlet Amatur Wilayah Persekutuan sejak 1989.

“Seramai 445 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan mengawal lalu lintas sepanjang program itu berlangsung.

“Pengguna jalan raya pula dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke pusat bandar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Dirigo Event (M) Sdn Bhd di talian 03-78874717.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di talian 03-26179378 atau hotline Trafik Kuala Lumpur 03-20719777 selain Facebook PolisKL, TrafikKL dan Instagram Trafik_KL,” katanya.

Berita Harian X