Selasa, 10 September 2019 | 10:37pm
Naib Presiden Satu RPGC, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak (duduk tengah) bergambar bersama ahli jawatankuasa kejohanan selepas sidang media mengenai Kejohanan Terbuka Amatur Pahang 2019, hari ini. - Foto BERNAMA

Golf Terbuka Amatur Pahang sasar 120 penyertaan

KUANTAN: Seramai 120 pemain bakal berentap di edisi ke-16 Kejohanan Golf Amatur Terbuka Pahang di Kelab Golf Diraja Pahang (RPGC), di sini pada 4 hingga 6 Oktober ini.

 

Kejohanan selama tiga hari yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM20,000 itu dianjurkan RPGC, Kerajaan Pahang dan Persatuan Golf Malaysia (MGA).  

Naib Presiden Satu RPGC, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, kejohanan itu dijangka dimeriahkan dengan penyertaan pemain amatur dari dalam dan luar negara.

"Setakat ini, seramai 30 pemain sudah mengesahkan penyertaan yang membabitkan dua kategori iaitu lelaki dan wanita dipertandingkan.  

"Kami menjangkakan sasaran 120 pemain amatur dari dalam dan luar negara menyertai pertandingan ini tercapai," katanya pada sidang media di Dewan RPGC, di sini hari ini.  

Dr Sallehuddin berkata, hadiah keseluruhan bernilai RM20,000 diharap menarik minat pemain untuk mempamerkan kehebatan masing-masing.  

Katanya, segala persiapan kini berada dalam keadaan terbaik dan tarikh tutup penyertaan pada 20 September ini.

"Hadiah dijangka disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah," katanya.

134 dibaca
Berita Harian X