Selasa, 10 September 2019 | 6:45pm
PUTERA Edward, Earl of Wessex beramah mesra dengan atlet kebangsaan di Kompleks Sukan Bukit Jalil. - Foto BERNAMA

Putera Edward lawat atlet, KLSC

KUALA LUMPUR: Putera Edward, Earl of Wessex, hari ini melawat  Kuala Lumpur Sports City (KLSC) dan melihat persediaan atlet Malaysia menghadapi  kejohanan masing-masing.

Putera Edward yang juga naib penaung Sukan Komanwel diiringi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau menyaksikan penerjun dan perenang kebangsaan beraksi di Pusat Akuatik Nasional sebelum berangkat ke Gimnasium 2 untuk menyaksikan latihan atlet sepak takraw dan wushu sempena menghadapi Sukan SEA Filipina 2019, November ini.

Beliau kemudian mengakhiri lawatan dengan menyaksikan atlet trek dan lapangan, gimnastik berirama dan gimnastik artistik di stadium mini dan gimnasium 3 sebelum sesi jamuan teh.

Putera Edward telah meluangkan masa beramah mesra bersama atlet kebangsaan dan atlet para yang sudah bersara di foyer gimnasium 3.

Sebagai naib penaung  Sukan Komanwel, Putera  Edward juga berpeluang menyaksikan  atlet Malaysia beraksi menjelang Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

Putera Edward ialah dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia dan beliau juga akan melawat Australia.

Kali terakhir beliau berkunjung ke Malaysia pada 2004 bersama Yayasan Anugerah  Antarabangsa Duke of Edinburgh.

Putera Edward adalah putera bongsu Ratu Elizabeth II Britain yang juga Duke of Edinburgh. - BERNAMA

 

232 dibaca
Berita Harian X