Rabu, 4 September 2019 | 8:47pm

MPM undang masalah jika adakan EGM

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagaikan sengaja 'mencari penyakit' sekiranya meneruskan niat untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

Gambaran itu dapat disimpulkan selepas Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan (PJS), Asmadi Mohamad menerusi surat bertarikh 30 Ogos lalu yang tersebar di media sosial menegaskan bahawa badan induk itu boleh berdepan hukuman penggantungan andai masih gagal menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

Ini kerana berdasarkan perlembagaan artikel 26.3 MPM dengan jelas menyatakan sekiranya proses mediasi gagal, maka isu berkenaan memerlukan kata putus daripada Menteri Belia dan Sukan atau Mahkamah Timbang Tara.

Namun, terdapat ura-ura bahawa ada gerakan tertentu MPM yang sedang mencari 'kelopongan' dalam perlembagaan untuk mengelak garis panduan yang ditetapkan.

Begitupun, Asmadi menerusi surat kepada badan induk itu sudah mengingatkan bahawa kesudahan lebih buruk menanti MPM seperti terkandung dalam Seksyen 20(1A) Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018.

"Sebarang tindakan lain yang diambil dikhuatiri tidak akan menyelesaikan isu pokok pertikaian yang timbul dan kemelut ini akan berterusan serta memberi persepsi yang buruk kepada masyarakat. 

"Adalah diingatkan bahawa kegagalan menyelesaikan pertikaian ini boleh menyebabkan tindakan penggantungan boleh diambil berdasarkan kepada Seksyen 20(1A) Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018," katanya. 

Asmadi turut memberitahu bahawa Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) memandang serius kegagalan proses mediasi itu kerana ia menyebabkan kemelut dalaman semakin sukar diselesaikan. 

"Ia merugikan semua pihak berkepentingan terutamanya atlet serta pihak kerajaan yang sudah membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi pembangunan sukan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia," katanya.  

Semalam Berita Harian melaporkan beberapa ahli gabungan MPM mendesak agar pemilihan AGM badan induk itu dapat disegerakan kerana tidak tahan dengan kemelut dihadapi ketika ini.

Pemilihan baharu MPM bagi penggal 2019-2023 sepatutnya berlangsung pada 29 Jun lalu namun AGM itu ditangguhkan selepas timbulnya isu pencalonan lewat daripada beberapa calon termasuk bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bagi jawatan Presiden.

Ekoran isu yang menimpa, difahamkan MPM kini sudah berpecah kepada dua kem gara-gara tindakan sesetengah pihak 'atasan MPM' meletakkan kepentingan peribadi lebih tinggi daripada keperluan atlet.

Berita Harian X