X
Rabu, 4 September 2019 | 12:15am
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Rosela Ismail
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Rosela Ismail

Syed Saddiq digesa selesaikan kemelut MPM

KUALA LUMPUR: Ahli gabungan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berharap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masuk campur bagi menyelesaikan kemelut dalaman membabitkan pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk berkenaan.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, hanya Syed Saddiq atau Mahkamah Timbang Tara Sukan yang boleh menyelesaikan kemelut dalaman MPM berhubung AGM selepas proses mediasi yang diambil sebelum ini gagal.

Difahamkan ada usaha dari pihak tertentu untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar biasa (EGM) MPM bagi membolehkan calon yang lewat menghantar borang pemilihan dibenarkan bertanding.

Setiausaha Agung Persatuan Olahraga Para Malaysia, S Kumurasamy berkata, sebagai ahli gabungan, suasana ‘kucar kacir’ itu tidak boleh terus dibiarkan kerana ia hanya merugikan pelbagai pihak.

“Mengikut perlembagaan jika proses mediasi sudah tidak berjaya maka pihak Menteri Belia dan Sukan harus membuat satu keputusan penyelesaian.

“Kita semua tidak mahu gaduh sehingga mahu adakan EGM, sebagai ahli gabungan kami cuma mahu masalah ini selesai secepat yang boleh, tak perlu tangguh lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Orang Buta Malaysia (BFAM), Mejar Azhari Abdullah berharap proses pemilihan MPM berjalan lancar tanpa sebarang isu.

“Tak manis kalau orang luar lihat kerana ia membabitkan nama baik MPM. Saya percaya menjelang Sukan Para ASEAN pihak pengurusan MPM akan berdepan banyak kerja untuk mempersiapkan kontinjen dan jika AGM tidak disegerakan, ia mungkin menyukarkan persiapan,” katanya. 

Sebagai rekod, pada 29 Jun lalu, barisan kepimpinan baharu MPM bagi penggal 2019-2023 masih kosong selepas AGM yang berlangsung ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Berita Harian X