Khamis, 15 Ogos 2019 | 10:17pm
Mohammad Rifdean ke final selepas menewaskan peninju Mongolia, Gantushig Tenuun menerusi knockout (KO). - Ihsan Bernard Radin
Mohammad Rifdean ke final selepas menewaskan peninju Mongolia, Gantushig Tenuun menerusi knockout (KO). - Ihsan Bernard Radin

Rifdean ke final Muay Thai Asia Timur

IPOH: Petinju Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Muay Thai Asia Timur 2019 di Hong Kong, sebentar tadi.  

Mohammad Rifdean,17, yang juga pemenang pingat emas Kejohanan Muay Thai Dunia 2019 menewaskan peninju Mongolia, Gantushig Tenuun menerusi knockout (KO) pada pusingan kedua.  

Kemenangan itu membolehkan petinju remaja itu melangkah ke perlawanan akhir bagi kategori lelaki 48 kilogram (kg) Ahad ini.  

Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin ketika dihubungi berkata, dia berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Mohammad Rifdean pada perlawanan itu.  

Katanya, Mohammad Rifdean menampilkan persembahan kemas dan menyerang sehingga menyebabkan peninju lawan KO pada pusingan kedua.  

“Walaupun dia (Rifdean) terpaksa melompat kategori namun dia membuktikan dia mampu melakukannya, kategori sepatutnya disertai adalah 45kg.  

“Saya berpuas hati dengan corak permainannya dan yakin dia mampu membawa pulang pingat emas kepada negara,” katanya yang kini berada di Hong Kong.  

Selain Mohammad Rifdean, seorang lagi petinju Muay Thai Perak yang juga pemenang pingat emas Kejohanan Muay Thai Dunia 2016, Nur Amisha Azrilrizal akan bertanding Sabtu ini.  

Nur Amisha akan bertanding bagi kategori wanita 51kg menentang lawan Chinese Taipei untuk melayakkan diri ke peringkat akhir.

Berita Harian X