Rabu, 31 Julai 2019 | 1:34pm
PRESIDEN Pertubuhan Cekak Harimau Malaysia, Datuk Osman Nok. NSTP/Saifullizan Tamadi.

500 pesilat sahut cabaran Silat Cekak Harimau di Temerloh

KUANTAN: Seramai 500 pesilat daripada 40 pasukan termasuk dari luar negara sudah menyatakan kesanggupan menyahut cabaran Kejuaraan Silat Terbuka Cekak Harimau Malaysia 2019 kali kedua di Temerloh, bermula 13 hingga 16 September ini.

Antara pasukan luar negara dijangka menyertai kejuaraan itu ialah Belanda, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Singapura, Vietnam, Thailand dan Indonesia. 

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu usia dini (tujuh hingga 12 tahun), remaja (13 - 16 tahun) dan Sukan Malaysia (SUKMA) – (17 tahun – 20 tahun).

Presiden Pertubuhan Cekak Harimau Malaysia, Datuk Osman Nok berkata, tujuan pertandingan silat itu dianjurkan adalah bagi mencungkil bakat baharu, selain sebagai persediaan pesilat yang bakal menyertai SUKMA 2020 di Johor. 

"Penyertaan pesilat dari luar negara juga diharapkan dapat memberi pengalaman berharga kepada semua peserta tempatan," katanya.

Osman berkata, pada pertandingan sama tahun lalu, seramai 300 pesilat daripada 35 pasukan mengambil bahagian di Kuantan dan bagi edisi kali ini pula akan diadakan di Dewan Tun Razak, Temerloh.

 

 

Berita Harian X