Rabu, 24 Julai 2019 | 9:40pm
PENINJU Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok. NSTP/Ihsan Pembaca
PENINJU Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok. NSTP/Ihsan Pembaca

Rifdean ke separuh akhir Muay Thai Dunia

IPOH: Peninju Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor, 17, berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok selepas menewaskan peninju dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ahmad Almesmari malam tadi.

Kemenangan Mohammad Rifdean dengan keputusan knockout (KO) serta aksi cemerlang dipamerkannya pada perlawanan itu memberikan harapan untuk sekali lagi melihat kejayaan negara selepas dilakukan Nur Amisha Azrilrizal pada tahun 2016.

Ketua Jurulatih Muay Thai Perak Bernard Radin berkata, Mohammad Rifdean yang bertanding dalam kategori 48 kilogram (kg) mempamerkan aksi cemerlang menentang lawan lebih tinggi daripadanya.

"Perlawanan separuh akan diadakan Sabtu ini dan Mohammad Rifdean dijangka akan bertemu peninju dari Vietnam, saya berharap dia dapat mengekalkan momentumnya untuk membawa pulang pingat pada negara,” kata Bernard.

"Pada perlawanan malam tadi, dia berjaya menampilkan aksi terbaik dengan menewaskan peninju UAE dengan keputusan KO pada pusingan pertama."

Bernard yang kini berada di Bangkok bersama-sama dua peninju Perak yang bertanding dalam kejohanan itu berkata, seorang lagi peninju, Mohamad Azeem Ismail, 22, turut merakam kemenangan menerusi kiraan mata ke atas peninju Jepun.

Mohamad Azeem yang bertanding dalam kategori 63.5kg akan bertemu peninju Belarus.

Menurutnya, kecergasan kedua-dua peninju itu kini berada pada tahap terbaik dan berharap mereka membawa pulang pingat emas kepada negara.

Berita Harian X