Ahad, 21 Julai 2019 | 8:38pm

Pandelela cari terjunan baharu

SEPANG: Penerjun negara, Pandelela Rinong Pamg mahu mempelajari 'terjunan baharu' sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menyaksikan ramai pesaing muda di Kejohanan Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan baru-baru ini menyajikan saingan sengit buat mereka. 

Pandelela dan gandingannya, Leong Mun Yee bersama pasukan terjun negara tiba di tanah air dengan membawa pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama sekali gus menempah slot ke temasya terbesar dunia itu. 

"Saya akan tetap berlatih seperti biasa," kata Pandelela. "Saya akan memberi fokus untuk mempelajari satu terjunan baharu bagi memberi saingan lebih sengit kepada negara lain. Bagi saya, terjunan baharu ini akan memberi peluang lebih besar (untuk mengutip mata). 

"Lagipun, pada masa ini semua penerjun muda menggunakan darjah kesukaran tinggi dan saya tak mahu berada di zon selesa lagi."

Di Gwangju, gandingan berkenaan mengumpul 312.72 mata untuk menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pasangan China, Lu Wei-Zhang Jiaqi yang meraih emas selepas mengutip 345.24 mata. 

Gangsa diraih pasangan Amerika Syarikat, Samantha Bromberg-Katrina Young dengan 304.86 mata. 

"Sekarang ini China menukar lagi pasangan baharu, lagi kecil, lagi muda dan lagi bertenaga. Jadi kami skuad Malaysia kena berusaha lebih gigih dan perlu (berlatih) di luar negara untuk meningkatkan lagi kemampuan kami. Bukan China saja, Mexico, Great Britain dan banyak lagi," katanya mengulas mengenai persaingan di Korea Selatan itu. 

Sementara itu, Mun Yee juga senada dengan Pandelela dan mahu berusaha lebih gigih untuk memperoleh peluang beraksi di temasya Olimpik kelima dalam kariernya di Tokyo. 

"Misi kali ini (di Gwangju) adalah untuk mengambil slot kelayakan dan selepas ini kena usaha lagi untuk ke arah Tokyo," kata Mun Yee. "(Sekiranya dipilih), ini akan menjadi Olimpik kelima namun apapun kena berlatih lebih gigih dan jangan dihimpit sebarang kecederaan."

Pandelela (kiri) bersama Mun Yee menunjukkan pingat sejurus tiba dari Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan di KLIA, Sepang. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Pandelela (kiri) bersama Mun Yee menunjukkan pingat sejurus tiba dari Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan di KLIA, Sepang. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X