Jumaat, 19 Julai 2019 | 9:32pm
PENINJU Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor. - Foto Muhaizan Yahya
PENINJU Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor. - Foto Muhaizan Yahya

Rifdean, Azeem sasar raih pingat di Bangkok

IPOH: Dua peninju Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor, 17, dan Mohamad Azeem Ismail, 22, mensasarkan untuk membawa pulang pingat pada Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok, bermula hari ini sehingga 29 Julai.

Mohammad Rifdean yang juga pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 akan berentap dalam kategori 48 kilogram (kg) manakala Mohammad Azeem pula bagi kategori 63.5 kg.

Kedua-dua peninju itu akan berlepas ke Bangkok bersama Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin esok dengan misi menyamai pencapaian Nur Amisha Azrilrizal,17, pada 2016.

Mohammad Rifdean yang ditemui ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Muaythai Perak berkata, dia mensasarkan untuk membawa pulang emas walaupun mengetahui bakal menghadapi cabaran dari sembilan negara yang berentap dalam kategori disertainya itu.

PENINJU Muay Thai Perak, Mohamad Azeem Ismail.
PENINJU Muay Thai Perak, Mohamad Azeem Ismail.

"Dari segi kecergasan dan persediaan, saya sudah berada pada tahap terbaik dan ia akan direalisasikan pada hari kejohanan nanti sahaja, dalam gelanggang apa pun boleh berlaku dan saya perlu fokus.

"Jika tidak dapat emas pun, sekurang-kurangnya saya pulang dengan pingat, namun keyakinan perlu ada untuk membawa pulang emas walaupun sedikit gementar," katanya.

Bagi Mohammad Azeem, kejohanan pertama kali disertainya itu akan menjadi medan untuk meningkatkan pencapaiannya selepas hanya memperoleh pingat gangsa pada SUKMA tahun lalu.

Katanya, walaupun sedikit gementar kerana bakal bersaing dengan peninju-peninju hebat terutama dari tuan rumah, namun semangat diberikan Bernard akan dijadikan azimat sebaik melangkah ke gelanggang.

Berita Harian X