Khamis, 18 Julai 2019 | 9:27pm
Penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee. - Foto AFP
Penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee. - Foto AFP

Wendy sebak layak Olimpik Tokyo 2020

KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee mengakui berasa sebak dan tidak mampu menahan air mata, selepas meraih slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Slot berkenaan diperoleh selepas atlet berusia 26 tahun itu layak ke pusingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Kejohanan Terjun Dunia ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, hari ini.

Kejayaannya itu juga menandakan beliau akan beraksi di Sukan Olimpik buat kali ketiga, selepas menyertainya pada 2012 di London dan 2016 di Rio de Janeiro.

"Selepas melihat keputusan, saya terasa sebak dan menangis kerana tidak sangka mampu meraih slot ke Olimpik selepas menghadapi pelbagai cabaran, termasuk menjalani pembedahan bahu pada November selepas Sukan Asia.

"Sangat sukar untuk kembali mendapat rentak terjunan dan masih banyak perlu diperbaiki. Kejayaan ini terus memberi motivasi kepada saya untuk berlatih lebih keras, bagi mempersiap diri berada dalam prestasi terbaik di Olimpik Tokyo nanti," katanya melalui aplikasi Whatsapp.

Wendy berakhir di kedudukan ke-10 dengan kutipan 288.60 mata pada saingan separuh akhir, untuk ke pusingan seterusnya di mana hanya 12 daripada 18 penerjun terbaik layak ke final.

Katanya, pengalaman kali ketiga beraksi di Sukan Olimpik sememangnya sesuatu yang indah dan sudah pasti sangat bermakna buatnya serta skuad terjun kebangsaan.

Selain Wendy, Malaysia turut meraih dua lagi slot ke Sukan Olimpik Tokyo, apabila terdahulu gandingan Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee meraih tiket pertama ke Olimpik menerusi acara 10m platform seirama wanita.

Pandelela turut meraih tiket ke Sukan Olimpik melalui acara 10m platform individu.

-- BERNAMA

Berita Harian X