Sabtu, 13 Julai 2019 | 9:21pm
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Shahrul Zaman Yahya (empat, kanan) bergambar bersama barisan Ahli Majlis KRM Sesi 2019/2022 sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KRM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) hari ini. Turut sama Timbalan Presiden KRM Amir Amri Mohamad (empat, kiri) dan Naib Presiden KRM Fahmy Jalil (tiga, kiri). - Foto BERNAMA
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Shahrul Zaman Yahya (empat, kanan) bergambar bersama barisan Ahli Majlis KRM Sesi 2019/2022 sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KRM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) hari ini. Turut sama Timbalan Presiden KRM Amir Amri Mohamad (empat, kiri) dan Naib Presiden KRM Fahmy Jalil (tiga, kiri). - Foto BERNAMA

KRM bida piala dunia ragbi 7 sebelah 2022

KUALA LUMPUR: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan mengemukakan bidaan secara rasmi bagi penganjuran Piala Dunia Ragbi Tujuh Sebelah (Sevens) edisi 2022, pada Selasa ini.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata perkara itu sudah mendapat persetujuan secara lisan daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebelum Majlis Ragbi Dunia membuat keputusan berhubung pemilihan tuan rumah kejohanan itu di Tokyo pada 29 Oktober ini.

"KRM cuba untuk turut serta dalam bidaan tersebut dan mahu belajar daripada proses itu. Jika kita gagal dalam bidaan itu, sekurang-kurangnya kita sudah mulakan satu proses dan belajar bagaimana untuk membida kejohanan ragbi bertaraf dunia," katanya selepas sesi pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KRM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM), di sini, hari ini.

Sebelum ini, KRM menyatakan hasrat untuk membida kejohanan berkenaan, dalam usaha membentuk skuad ‘bunga raya’ layak beraksi pada Piala Dunia Ragbi 2031 yang membabitkan saingan 15 sebelah.

Piala Dunia ‘Sevens’ 2022 dijadual berlangsung pada September atau Oktober 2022 dan sehingga kini 11 negara iaitu Argentina, Cayman Islands, Perancis, Jerman, India, Jamaica, Qatar, Scotland, Afrika Selatan, Tunisia dan Malaysia menunjukkan minat untuk membida menjadi tuan rumah.

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata KRM berhasrat membentuk pasukan ragbi Malaysia bertaraf dunia dalam tempoh 12 tahun dari sekarang, bagi memastikan impian negara untuk layak ke Piala Dunia Ragbi 2031, tercapai.

Dalam perkembangan lain, Shahrul Zaman yang dipilih untuk terus menerajui badan induk itu bagi penggal 2019-2022, berkata proses pemilihan berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.

Beliau mengakui banyak perkara perlu dilakukan bagi mengukuhkan lagi badan induk berkenaan.

-- BERNAMA

Berita Harian X