Sabtu, 29 Jun 2019 | 12:46am
Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (berdiri) meraikan tetamu pada Majlis Mesra Aidilfitri di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), Batu Caves. - NSTP/Owee Ah Chun

Pesilat muda negara sedia 'berpencak' di Filipina

 

KUALA LUMPUR: Barisan pesilat baharu ke Sukan SEA Filipina sudah memiliki sifat berani dan karakter itu amat diperlukan bagi membantu kontinjen negara membuahkan kilauan pingat pada temasya yang dijadual berlangsung November ini. 

Daripada pemerhatian Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, barisan muda ini sudah menunjukkan komitmen penuh ketika sesi pemilihan skuad silat, baru-baru ini. 

Tanpa ragu dengan pesilat baharu ini, Megat Zulkarnain yang juga Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Filipina berkata: "Mereka ini pesilat yang baru kali pertama bertanding di peringkat antarabangsa. 

"Saya fikir ini lebih baik. Strategi tepat kerana mereka tak perlu tahu siapa lawan mereka, jadi mereka akan pergi ke sana untuk menang.  Mereka akan bergandingan bersama pesilat lama dan atas faktor ini, mereka lebih bersemangat. 

"Apa yang penting dalam sukan tempur adalah berani dan mereka ada sifat itu. Saya yakin mereka boleh berikan saingan."

Meskipun begitu, Megat Zulkarnain tidak mahu memandang rendah pihak lawan apatah lagi kelas dipertandingkan kali ini dilihat mempunyai peluang sama rata buat kesemua negara bertanding. 

"Mereka sedang menjalani latihan cukup intensif apatah lagi saya juga CDM, jadi pesilat perlu tunjuk satu pencapaian baik supaya kita boleh banggakan. Namun saya tidak menolak (kemampuan) negara lain. 

"Kelas kecil ini, kebiasaannya semua negara kuat. Vietnam, Thailand, Indonesia dan Filipina. Ada sebab kenapa Filipina (tuan rumah) mencadangkan kelas ini. Saya fikir mereka ada pesilat yang bagus tapi kita lihat nanti," katanya kepada media ketika Majlis Mesra Aidilfitri anjurannya di Kompleks Lincah Omardin (KLMO), di sini, malam tadi. 

Sembilan kelas dipertandingkan di Filipina dengan kem silat meletakkan sasaran dua emas meskipun tanpa disertai jaguh negara - Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir. 

Daripada sembilan acara ini, lima daripadanya adalah acara tempur namun kelas disertai Al-Jufferi dan Siti Rahmah tidak dipertandingkan.

Berita Harian X