Selasa, 18 Jun 2019 | 10:12pm

Tangan ghaib dalam MPM?

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) disaran menjadikan perlembagaan majlis itu sebagai garis panduan menyelesaikan isu membabitkan pengesahan pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Setiausaha Agung Persatuan Olahraga Para Malaysia, S Kumurasamy berkata ia adalah jalan terbaik supaya tidak timbul isu yang boleh menjejaskan perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM yang dijadualkan berlangsung pada 29 Jun ini.

"Jika ikut perlembagaan, tidak layak... tidak layak la. Ini kerana dalam perlembagaan MPM jelas menyebut pencalonan mestilah dibuat 14 hari sebelum AGM,” kata Kumurasamy.

"Jadi, bemakna 11.59 malam ,14 Jun adalah tarikh akhir pencalonan, memang pada 15 Jun kita adakan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, tetapi apapun kita tetap kena ikut perlembagaan."

Difahamkan setakat ini Khairy disahkan boleh bertanding pada pemilihan AGM MPM nanti selepas wujud 'tangan ghaib' yang mengesahkan pencalonannya bersama Timbalan Presiden, John Ng Keng Chuan.

Malah, keputusan itu dipercayai dibuat tanpa mendapat persetujuan bersama barisan Exco MPM.

Sebelum ini, sumber terdekat MPM memberitahu pencalonan Khairy dan John hanya dibuat pada jam 11.30 malam 15 Jun, sedangkan jelas tertera tarikh akhir penyerahan borang sebelum 15 Jun 2019, bermakna waktu terakhir adalah pada jam 11.59 malam, 14 Jun.

Jelas Kumurasamy, bukan hendak menidakkan hasrat Khairy, namun sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan sepatutnya beliau menjadi contoh terbaik dalam mengikut segala garis peraturan yang ditetapkan.

"Saya pun tidak tahu latar belakangnya dari persatuan mana sebelum ini, tiba-tiba beliau sudah mempunyai persatuan. Bagi saya tidak penting sesiapun yang bertanding, tetapi biarlah ia mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.

Sesiapa pun yang memegang jawatan ini akan berdepan tugas besar iaitu Paralimpik 2020 di Tokyo. Empat tahun lalu di Paralimpik Rio, kontinjen paralimpik negara berjaya membawa pulang tiga emas.

Ketiga-tiga emas tersebut disumbangkan oleh Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly meraih pingat emas ketiga negara melalui acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran).

Berita Harian X