Rabu, 24 April 2019 | 1:09am
NAURAJ Raj (kiri) dan Lee Hup Wei. - Foto Arkib NSTP
NAURAJ Raj (kiri) dan Lee Hup Wei. - Foto Arkib NSTP

Nauraj, Hup Wei mara final lompat tinggi di Doha

KUALA LUMPUR: Impian jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei untuk menamatkan kemarau pingat emas di Kejohanan Asia semakin cerah apabila kedua-dua mereka layak ke final acara lompat tinggi pada Kejohanan Olahraga Trek dan Padang Asia (ATF) 2019 di Doha, Qatar, semalam.

Kedua-dua atlet kebangsaan itu merekodkan lompatan setinggi 2.16 meter (m) untuk melayakkan diri ke acara final yang akan berlangsung pada Rabu di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Untuk mara ke final, atlet perlu melakukan lompatan setinggi 2.22m atau berada dalam kelompok 12 terbaik pada saingan kelayakan.

Untuk rekod, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meletakkan sasaran pingat emas ke atas Nauraj dengan harapan untuk menamatkan kemarau emas dalam Kejohanan Asia seperti yang dilakukan Hup Wei, 12 tahun lalu.

Sementara itu, jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail sekadar berakhir di kedudukan kelapan dalam final acara lompat kijang lelaki dengan lompatan sejauh 15.83m.

Pemegang rekod kebangsaan yang juga pemegang rekod Sukan SEA menerusi catatan 16.77m yang meletakkan sasaran untuk memenangi pingat pada kejohanan itu mencatatkan lompatan sejauh 16.08m pada saingan kelayakan B untuk mara ke final.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Zulfiqar Ismail bagaimanapun gagal mara ke final acara 100m selepas berakhir di kedudukan keempat dengan rekod 10.49s pada saingan separuh akhir 1/3.

Hanya dua pelari terbaik bagi setiap kelayakan (tiga heat) serta dua pelari paling laju bagi keseluruhan, mara ke final acara berkenaan. Muhammad Zulfiqar berada di ranking ke-14 keseluruhan.

-- BERNAMA

Berita Harian X