Selasa, 23 April 2019 | 7:41pm
Pemain remaja Malaysia, Nur Syazwani. - Foto MSN
Pemain remaja Malaysia, Nur Syazwani. - Foto MSN

Malaysia terlepas emas boling remaja Asia

KUCHING: Prestasi tidak menentu ditampilkan pemain negara menyaksikan Malaysia terlepas peluang meraih pingat emas acara empat sepasukan pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia (AYTBC) 2019 di Megalanes Sarawak, di sini hari ini.

Walaupun mendahului dengan 247 jatuhan pin selepas blok pertama semalam, skuad remaja wanita Malaysia dibarisi Nur Syazwani Sahar, Nurul Ayunni Junaidi, Nurul Alyssa Junaidi dan Gillian Lim gagal menyaingi pasukan Singapura yang bangkit di blok kedua untuk meraih emas selepas melakukan keseluruhan 4,664 jatuhan pin.

Korea Selatan yang mencatat 4,628 jatuhan pin meraih pingat perak manakala Malaysia sekadar memenangi gangsa dengan 4,617 jatuhan pin.

Pengurus pasukan negara, Robert Lu yang mengucapkan tahniah kepada kuartet Singapura kerana menampilkan kebangkitan cemerlang untuk meraih emas, yakin pemain negara akan menampilkan aksi lebih baik dalam acara Masters esok.

“Esok, pastinya akan berbeza. Kami akan berbincang dengan pemain dan saya pasti mereka boleh,” katanya.

Nasib berbeza menimpa skuad remaja lelaki Malaysia apabila sekadar menamatkan cabaran di kedudukan kelima selepas melakukan keseluruhan 4,780 jatuhan pin.

Singapura meraih pingat emas berganda selepas pasukan lelaki mereka mencatat 5,123 jatuhan pin untuk menjuarai kategori berkenaan.

Skuad Filipina menduduki tempat kedua selepas melakukan 4,996 jatuhan pin, manakala Korea Selatan memenangi pingat gangsa setelah mencatat 4,979 jatuhan pin.

Dalam acara Masters esok, semua pemain remaja wanita Malaysia berjaya bersaing dalam peringkat itu selepas menamatkan cabaran dalam kelompok 16 terbaik.

Sementara bagi kategori Masters lelaki, Muhammad Syazirol terlepas peluang berentap dalam saingan itu dengan hanya ketinggalan satu jatuhan pin kepada rakan senegara, Shahrukh yang menduduki tempat ke-16 dengan 3,605 jatuhan pin.

-- BERNAMA

Berita Harian X