Sabtu, 30 March 2019 | 8:24pm
Atlet olahraga kebangsaan, Iskandar Alwi memenangi pingat emas dalam acara lompat bergalah lelaki dengan lompatan, 5 meter pada GP Terbuka Malaysia Pertama 2019 di Stadium Nasional Sports City Bukit Jalil. - Foto Owee Ah Chun
Atlet olahraga kebangsaan, Iskandar Alwi memenangi pingat emas dalam acara lompat bergalah lelaki dengan lompatan, 5 meter pada GP Terbuka Malaysia Pertama 2019 di Stadium Nasional Sports City Bukit Jalil. - Foto Owee Ah Chun

Kekejangan, kurang aksi rencat prestasi Iskandar

Foto Owee ah Chun

KUALA LUMPUR: Bergelut dengan kekejangan otot dan kekurangan saingan antara punca Iskandar Alwi gagal memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara lompat bergalah lelaki di kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia, hari ini.

Iskandar yang juga atlet senior kebangsaan menjelaskan dia mengalami kekejangan ketika lompatan pertama sewaktu percubaan di ketinggian 5.32 meter (m).

Atlet dari Johor ini bagaimanapun berdepan laluan mudah untuk merangkul pingat emas tatkala dia hanya dicabar dua atlet remaja yang memiliki pencapaian jauh lebih rendah daripadanya.

Rekod kebangsaan yang juga pencapaian peribadi terbaik Iskandar adalah 5.31m yang dicipta pada tahun lalu di Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA/MILO 2018.

“Mungkin jika ramai peserta saya mampu melakukannya kerana ada saingan. Namun kali ini hanya menentang dua atlet junior. Tiada apa boleh dilakukan apabila tiada negara lain yang menghantar peserta.

"Pada masa yang sama, saya turut mengalami kekejangan pada lompatan pertama pada ketinggian 5.32m. Ia mungkin kerana cuaca atau terpaksa melakukan lompatan berturut-turut dalam jarak masa yang singkat," kata Iskandar.

Iskandar dalam masa sama menjelaskan dia berpuas hati dengan catatan 5.20m yang dilakukan dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana ia adalah kejohanan pertamanya musim ini.

“Ini kejohanan pertama jadi saya tidak letak mahu terlalu banyak jangkaan namun saya tetap mahu melakukan yang terbaik,” katanya.

 

Jadual GP Terbuka Malaysia 2019

(Esok)

3 ptg: lompat tinggi wanita

3.10 ptg: baling tukul besi wanita

3.40 ptg - 4.00 ptg: 1500 lelaki & wanita

4.20 ptg: baling tukul besi lelaki

4.35 ptg: lompat kijang lelaki

5.15 ptg: 5,000m lelaki 

8.00 mlm: lompat tinggi lelaki

8.05 mlm: lompat jauh wanita

8.10 mlm: 100m berpagar wanita

8.25 mlm: 110m berpagar wanita

8.40 mlm - 8.50 mlm: 400m lelaki & wanita

9.30 mlm -9.40 mlm: 200m lelaki & wanita

Berita Harian X