Sabtu, 23 March 2019 | 5:46pm
DATUK Seri Mohamad Norza Zakaria pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis MOM di Bangunan OCM, hari ini. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Mohamad Norza Zakaria pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis MOM di Bangunan OCM, hari ini. - Foto BERNAMA

Filipina tarik diri hos Sukan SEA sekadar spekulasi

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjelaskan laporan berkaitan penarikan diri Filipina sebagai tuan rumah Sukan SEA 2019 dari 30 November hingga 11 Disember ini adalah spekulasi media negara berkenaan.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya menghubungi Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC) selepas membaca laporan media berkenaan dan pihak tuan rumah memaklumkan bahawa kenyataan media itu hanya spekulasi.

“Bagaimanapun, POC memberi jaminan bahawa semua perancangan penganjuran temasya sukan dwitahunan berjalan lancar, “katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis MOM di Bangunan OCM, di sini hari ini.

Menurut laporan media tempatan Filipina, pihak penganjur kini menghadapi masalah dana selain dikaitkan dengan konflik dalaman kepimpinan sukan di negara itu.

Sementara itu, mengenai persiapan Sukan SEA, Mohamad Norza berkata jawatankuasa bebas penilai dipengerusikan oleh Tan Sri Dr M Jegathesan akan mengemukakan cadangan mengenai pemilihan atlet ke Sukan SEA dalam mesyuarat yang akan diadakan pada 25 April ini.

Katanya, MOM lebih fleksible dalam pemilihan atlet pada temasya dwitahun itu memandangkan kejohanan terbesar peringkat ASEAN adalah platform untuk atlet muda yang pertama kali menyertai kejohanan antarabangsa.

Dalam mesyuarat itu, beliau berkata beberapa persatuan belum jelas mengenai peruntukan persatuan masing-masing dan memerlukan penjelasan yang tepat daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

“Sukan SEA semakin hampir, jadi sangat penting pihak Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan perkara ini terutamanya mengenai Program Podium 2.0.

“Ada beberapa persatuan masih menunggu untuk berjumpa dengan menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman). Saya difahamkan persatuan ini mempunyai masalah mengenai peruntukan​​​​​​​ bagi​​​​​​​ persiapan atlet ke Sukan SEA,” katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X