Khamis, 14 March 2019 | 7:38pm
DATUK Seri Megat D Shahriman Zaharuddin. - NSTP/Hazreen Mohamad
DATUK Seri Megat D Shahriman Zaharuddin. - NSTP/Hazreen Mohamad

Megat Shahriman sambut baik cadangan Pengerusi YAKEB

 

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin menyambut baik cadangan pengerusi baharu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang mengusulkan namanya selaku ahli lembaga yayasan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberi komen lanjut dan hanya akan menjawab cadangan terbabit dalam satu sidang media yang akan diadakan nanti.

"Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Noorul Ariffin atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Yakeb yang baharu.

"Saya dimaklumkan mengenai cadangan beliau untuk mencalonkan saya sebagai ahli lembaga pengarah YAKEB melalui pegawai saya dan hasrat itu semenangnya disambut baik oleh saya.

"Namun buat masa ini saya sedang berada di luar negara. Saya akan memberi reaksi balas menerusi sidang media sebaik sahaja saya pulang ke tanahair," katanya ketika dihubungi hari ini.

Megat Shahriman sebelum ini menjadi antara beberapa calon hangat diperkatakan akan mengambil alih jawatan pengerusi YAKEB dikosongkan bekas pemain skuasy negara Azlan Iskandar pada September lalu.

Namun, persoalan itu terjawab pada Isnin lalu apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan akhirnya mengesahkan pelantikan Noorul, 54, selaku pengerusi baharu.

Biarpun menjadi pilihan Syed Saddiq, Noorul bagaimanapun sedia bekerjasama dengan Megat Shahriman yang sebelum ini pernah berjanji akan menyuntik RM 500,000 kepada yayasan berkenaan sekiranya diberi peluang menjadi sebahagian daripada mereka.

Malah, dalam laporan di BH Sukan pada Selasa lalu Noorul mencadangkan Megat Shahriman antara nama dalam sektor korporat untuk menjadi Ahli Lembaga YAKEB dan menyerahkan keputusan akhir untuk diputuskan oleh Syed Saddiq.

Berita Harian X