Selasa, 12 March 2019 | 6:57pm
DATUK Mumtaz Jaafar. - NSTP/Azhar Ramli
DATUK Mumtaz Jaafar. - NSTP/Azhar Ramli

Mumtaz yakin Noorul mampu pimpin YAKEB

KUALA LUMPUR: Legenda olahraga negara, Datuk Mumtaz Jaafar percaya Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed mampu menggalas tugas sebagai pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dengan baik.

Mumtaz yang juga mantan pengerusi YAKEB berkata, ini kerana Noorul bukannya muka baharu di dalam badan kebajikan berkenaan, sebaliknya pernah bergelar Ahli Lembaga Pengarah sebelum ini.

"Alhamdulillah YAKEB menerima pengerusi baharu dan saya percaya semua akan berjalan dengan baik kerana Noorul sudah lama bersama YAKEB," kata Mumtaz yang pernah menjadi pengerusi pertama YAKEB dari tahun 2009 hingga 2012.

Mengulas lanjut, Mumtaz yang kini bertindak sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjelaskan bahawa sesiapa saja yang menjadi pengerusi YAKEB perlu mempunyai jiwa yang ikhlas serta berkebajikan untuk membantu bekas atlet.

Katanya, pengerusi juga harus kreatif dalam mencari dana dan peruntukan buat yayasan, bukan hanya mengharapkan pihak kerajaan.

"Noorul tahu selok belok bagaimana hendak mengatasi masalah dan dia perlu jadikan YAKEB seperti rumah sendiri.

"Ahli pula perlu menggunakan peluang yang ada untuk membuat kebajikan," katanya yang turut berharap agar Ahli Lembaga Pengarah yang bakal dilantik bekerjasama membantu Noorul berkhidmat untuk YAKEB.

Untuk rekod, Noorul, bekas atlet olahraga kebangsaan, dilantik selaku pengerusi YAKEB yang baharu oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkuatkuasa pada 8 Mac 2019 sehingga 7 Mac 2021.

Sebelum ini jawatan pengerusi YAKEB disandang bekas jaguh skuasy negara, Azlan Iskandar, namun dia mengosongkan jawatan berkenaan pada pertengahan Oktober tahun lalu.

Selain Azlan, bekas jaguh bina badan Asia sebanyak enam kali, Datuk Malek Noor dan mantan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Seri Jamil Salleh turut pernah memegang tampuk pimpinan YAKEB.

Berita Harian X