Selasa, 12 March 2019 | 6:36pm
PENGERUSI YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (duduk tengah) bersama bekas atlet negara pada sidang akhbar selepas perlantikan beliau sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Kompleks Sukan Mont Kiara. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
PENGERUSI YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (duduk tengah) bersama bekas atlet negara pada sidang akhbar selepas perlantikan beliau sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Kompleks Sukan Mont Kiara. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Megat antara calon ahli lembaga pengarah YAKEB

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin antara nama dalam sektor korporat yang tersenarai untuk memegang jawatan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menjelaskan pihaknya hanya boleh mencadangkan kerana segala keputusan tertakluk kepada kuasa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Kita ada beberapa nama dan akan disyorkan kepada Yang Berhormat menteri. Ada juga nama daripada bekas atlet, dan saya lebih pentingkan mereka untuk berada di dalam senarai Ahli Lembaga Pengarah kerana mereka tahu perasaan atlet,” kata Noorul.

"Kita juga ada calon bekas atlet paralimpik dan daripada sektor korporat, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin. Saya akan cadangkan nama-nama ini kepada menteri (esok) selain latar belakang mereka sebelum menteri membuat keputusan.

"Mantan pengerusi juga berpeluang menjadi Ahli Lembaga Pengarah dan saya akan namakan kesemuanya kerana mereka boleh memberikan idea. Sama ada sudi atau tidak, terpulang kepada mereka."

Disoal mengenai janji Shahriman untuk menyumbang RM500,000 kepada YAKEB dengan syarat dia menjadi sebahagian daripada Ahli Lembaga Pengarah YAKEB, Noorul menegaskan pihaknya tidak memaksa sesiapa untuk memberikan sumbangan.

"Saya sebenarnya lebih suka YAKEB diterajui bekas atlet dan kalau boleh setiap sukan  ada seorang wakil. 

"Tapi malangnya kita hanya ada sembilan orang saja, jadi kita akan pilih yang terbaik dan boleh memberikan sumbangan kepada YAKEB," katanya.

Mengulas mengenai peruntukan kewangan, Noorul yang juga bekas Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mensasarkan untuk mendapatkan dana sebanyak RM5 juta.

Noorul berkata, YAKEB sudah menerima RM3 juta daripada kerajaan dan pihaknya sedang berusaha mendapatkan lagi RM2 juta lagi berbentuk peralatan, biasiswa dan kemahiran untuk menjana pendapatan tambahan.

Berita Harian X