Isnin, 11 March 2019 | 6:54pm
PENGERUSI baharu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed. - Foto Owee Ah Chun
PENGERUSI baharu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed. - Foto Owee Ah Chun

Noorul sedia perkasa YAKEB

KUALA LUMPUR: Pengerusi baharu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed sudah mempunyai perancangan rapi bagi memantapkan badan berkenaan.

Antara perancangannya adalah mewujudkan tabung YAKEB, bekerjasama dengankoperasi atlet kebangsaan dan mengadakan pertemuan bersama exco sukan peringkat negeri di seluruh negara.

"Tabung YAKEB akan membabitkan pengusaha restoran di seluruh Malaysia di mana kita akan berbincang bagaimana hendak beroperasi. Ia dijadual bermula pada 21 Mac (Khamis) ini bagi membantu YAKEB menjana dana,” kata Noorul.

"Kerjasama dengan koperasi atlet kebangsaan ini pula akan memberikan peluang perniagaan kepada YAKEB bagi menambah dana melalui koperasi, yang akan dilaksanakan secepat mungkin.

"YAKEB juga akan mengadakan pertemuan bersama exco negeri yang memegang jawatan belia dan sukan. Kita akan lihat bagaimana mereka boleh bantu bekas atlet negeri di peringkat kebangsaan seperti peluang kerja mahupun kewangan.”

Terdahulu, Noorul yang juga bekas atlet olahraga kebangsaan dilantik selaku pengerusi oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkuatkuasa pada 8 Mac 2019 sehingga 7 Mac 2021.

Noorul yang pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Presiden Persatuan Olahraga Johor mengetepikan calon-calon lain yang turut disenaraikan menduduki kerusi nombor satu berkenaan.

Sebelum ini jawatan pengerusi YAKEB disandang bekas bekas jaguh skuasy negara, Azlan Iskandar, namun dia mengosongkan jawatan berkenaan pada pertengahan Oktober, tahun lalu.

Selain Azlan, bekas jaguh bina badan Asia sebanyak enam kali, Datuk Malek Noor, mantan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Seri Jamil Salleh, dan lagenda olahraga negara, Datuk Mumtaz Jaafar pernah memegang tampuk pimpinan YAKEB.

"Saya akan menerajui YAKEB selama dua tahun. Terima kasih kepada Menteri (Syed Saddiq) dan Timbalan Menteri (Steven Sim) kerana memberikan kepercayaan kepada saya, ini bukan tugas yang mudah.

"Terima kasih juga kepada kakitangan YAKEB yang menggerakkan semua aktiviti dan program badan kebajikan ini," katanya yang turut memohon kerjasama daripada pihak kerajaan, swasta, orang perseorangan serta ahli YAKEB untuk menjayakan agenda membela nasib bekas atlet negara.

YAKEB mempunyai enam fungsi iaitu sebagai pusat sumber strategik untuk atlet negara, pengumpulan dana, pembangunan pendidikan dan kerjaya, kemahiran dan keusahawanan, bimbingan dan kauseling serta kebajikan.

Berita Harian X